Rabu, 30 November 2016 | 2:41pm

11 pangkalan hadapan di Pekan hadapi tengkujuh

PEKAN: Sebelas pangkalan hadapan yang mampu menampung bekalan untuk 14,000 mangsa banjir disediakan di daerah ini sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Banjir daerah, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin, berkata pangkalan hadapan itu boleh menampung bekalan untuk mangsa banjir bagi tempoh tiga hari.

PENGERUSI Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Banjir daerah, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin
PENGERUSI Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Banjir daerah, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin

"Walaupun pada tahun ini banjir diramalkan tidak seteruk 2014, kami sudah bersiap sedia dengan 90 pusat pemindahan banjir.

"Semua pangkalan hadapan juga sudah dibekalkan dengan makanan dan barangan keperluan lain bagi memastikan tidak berlaku kekalutan ketika bencana ini berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ali Syahbana berkata, pihaknya juga sudah melaksanakan simulasi banjir yang membabitkan 500 peserta yang terdiri daripada penduduk kampung, pemimpin setempat dan agensi kerajaan, minggu lalu.

"Melalui simulasi ini, penduduk kampung didedahkan dengan taklimat kesihatan, pemindahan barangan dan mangsa, pemindahan mangsa banjir, cara memberi bantuan pernafasan (CPR) dan kit pertolongan cemas serta simulasi operasi menyelamat di sungai," katanya.

Berita Harian X