Rabu, 30 November 2016 | 2:43pm
GAMBAR hiasan.

Nurul Annisa berdebar galas tugas di Bali

KUALA LUMPUR: Perasaan gemuruh tentunya berlegar di fikiran Nurul Annisa Mohd Sobri namun pesilat muda itu berazam untuk cuba mendapatkan pingat emas buat negara pada penyertaan sulungnya di Kejuaraan Silat Dunia di Bali bermula Ahad ini.

"Ini adalah kali pertama saya beraksi di pentas antarabangsa," kata pemenang pingat emas dalam kelas A Putri (45-50kg) di Sukan Malaysia Sarawak (SUKMA) 2016 itu.

"Pengalaman (di pentas antarabangsa) itu tak ada lagi cuma saya ada menyertai beberapa perlawanan persahabatan dan juga menyertai kejohanan remaja sebelum ini.

"Pingat emas itu sudah tentu saya ingin cuba dapatkan dan Insya Allah saya boleh melakukannya nanti. Apapun, bagi saya untuk penyertaan pertama kali ini, mungkin ia agak sukar tetapi dengan latihan yang disediakan mungkin saya boleh melakukannya."

Selain Annisa, turut membuat penampilan pertama ialah Wan Raspan Wan Abdul Halim (kelas A Putra), dan Mohd Zarish Hakim Shukor (kelas C Putra).

Bagi penyertaan temasya edisi ke-17 ini, Malaysia menghantar 29 pesilat yang terbabit dalam program Kita Juara dan Program Podium untuk menyertai 23 kategori - 17 olahraga dan enam seni.

Antara pesilat elit yang bakal beraksi di Bali ialah Olahragawan Negara 2015, Al Jufferi Jamari, Fauzi Khalid, Siti Rahmah Mohamed Nasir dan Siti Humairah Kasidin.

Info

Senarai pesilat ke Bali

Program Kita Juara:

Wan Ahmad Rasfan Wan Abdul Halim (Kelas Putra A), Muhammad Faizul M Nasir (Kelas Putra B), Mohamad Zarish Hakim Shukor (Kelas Putra C), Razak Ghazali (Kelas Putra D), Mohd Khusairy (Kelas Putra G), Muhammad Robial Sobri (Kelas Putra H), Ahmad Badrirullah Rahmat (Kelas Putra I), Mohd Khaizul Yaacob (Kelas Putra J), Mohd Afifi Nordin (Tunggal Putra), Mohd Taqiyuddin Hamid dan Rosli Mohd Sharif (Ganda Putra), Muhammad Amir Rabbani Saedan, Mohd Faiz Abdul Malek dan Muhammad Syafiq Ibrahim (Regu Putra), Nurul Annisa (Kelas A Putri), Siti Zubaidah Che Omar (Putri C), Nurul Ain Sohrab (Putri D), Nur Atikah Alias (Tunggal Putri), Nor Hamizah Abu Hassan dan Nor Syazreen Malik (Ganda Putri), Norfazlina Abdullah Sani, Siti Farah Hanim Samsudin dan Wan Nur Shela Muntaha (Regu Putri).

Program Podium

Al Jufferi Jamari (Kelas C), Fauzi Khalid (Kelas F), Siti Rahmah Mohamed Nasir (Kelas D) dan Siti Humairah Kasidin (Kelas B).

Berita Harian X