Rabu, 30 November 2016 | 3:03pm

100 wanita muda dilatih kemahiran kreatif digital


MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bergambar bersama peserta selepas penyerahan Geran Micro Fund [email protected] Creative Content di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Lebih 100 wanita muda diberi latihan intensif dalam bidang digital dan kreatif di bawah program Srikandi @Digital Creative Content oleh Wanita UMNO.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata inisiatif berkenaan memberi peluang kepada wanita yang berminat dalam bidang itu mencungkil potensi diri, dan pada masa sama menyumbang kepada ekonomi negara.

"Kita mahu pastikan UMNO sebagai badan politik tidak hanya terbabit dalam politik semata-mata tetapi juga memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan kemahiran.

"Melalui kemahiran ini kelak, mereka boleh memulakan perniagaan sendiri dalam bidang kandungan digital, sekali gus bertepatan dengan hasrat kerajaan menuju ekonomi digital tahun depan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya yang juga Bendahari UMNO kepada media selepas merasmikan program Srikandi @Digital Creative Content sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Srikandi @Digital Creative Content adalah program latihan dalam bidang kandungan digital, termasuk menghasilkan filem dan video pendek kepada wanita muda yang dikelolakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Berita Harian X