Rabu, 30 November 2016 | 4:21pm

Untung bersih Q3 Affin Holdings naik 24%

KUALA LUMPUR: Affin Holdings Bhd terus mencatat pertumbuhan bagi tahun kewangan 2016 apabila keuntungan sebelum cukai selepas zakat pada suku kewangan ketiga berakhir 30 September 2016 mencatat peningkatan 24.4 peratus kepada RM185.5 juta berbanding RM149.1 juta suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatan pada suku dikaji meningkat kepada RM504.39 juta daripada RM459.78 juta.

Susulan prestasi Affin itu dan dasar dividennya, kumpulan itu mencadangkan pengagihan dividen sementara satu peringkat sebanyak tiga sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Demikian menurut syarikat itu dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas prestasi, Affin Bank Bhd (ABB), kumpulan itu berkata bank itu mencatat keuntungan sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM432.6 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2016 mewakili peningkatan 34.6 peratus berbanding RM321.3 juta yang diraih pada 2015.

Pencapaian itu disumbang elaun bagi pinjaman terjejas, pendapatan perbankan Islam yang lebih tinggi serta peningkatan hasil operasi lain, katanya.

Keuntungan sebelum cukai suku-ke-suku Affin Hwang Investment Bank Bhd meningkat kepada RM35.8 juta daripada RM30.9 juta manakala bagi tempoh sembilan bulan ia menokok kepada RM90.9 juta daripada RM62.5 juta.

Berita Harian X