Khamis, 1 Disember 2016 | 9:22am

KJ beri arahan kawalan kehormat


KETUA Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berbual dengan peserta perbarisan semasa menunggu majlis menaikkan bendera sempena Perhimpunan Agung UMNO ke 70 di Dataran PWTC. - Foto Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Tradisi menaikkan bendera UMNO, Sang Saka Bangsa serta perbarisan pagi ini, menandakan bermulanya secara rasmi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016.

Berbeza daripada sebelum ini, acara sejak 67 pada tahun lalu itu menyaksikan perbezaan apabila Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin diberi penghormatan memberikan arahan kawalan kehormat dan penghormatan kepada ketua komanden untuk memulakan perbarisan.

Pembaharuan itu sebagai penghormatan dan penghargaan kepada Ketua Pemuda UMNO yang ditauliahkan pangkat Brigedier Jeneral selepas menamatkan latihan asas ketenteraan dalam pasukan Askar Wataniah.

Tepat jam 8.30 pagi, Khairy mengetuai 50 anggota Pemuda masuk berbaris bersama Wanita dan Puteri, sebelum menyerahkan tongkat perbarisan kepada Komander Mohd Akmal Tajul Ariffin selaku ketua perbarisan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kemudian tiba pada jam 9 pagi di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ketibaan Perdana Menteri yang segak berbaju Melayu biru disambut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selalu Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, serta pemimpin UMNO lain.

Najib kemudiannya menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan membabitkan 150 anggota daripada ketiga-tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.

Najib diiringi Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sewaktu memeriksa perbarisan.

Cuaca cerah dan kehadiran orang ramai menyemarakkan lagi upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa dan nyanyian lagu UMNO 'Bersatu Bersetia Berkhidmat' diiringi koir Universiti Teknologi MARA (UiTM), menyemarakkan semangat semua ahli UMNO yang berhimpun.

Najib dan barisan kepemimpinan UMNO kemudian menuju ke Dewan Merdeka Pembaharuan pada tahun ini turut dapat disaksikan melalui pemakaian baju Melayu dan baju kurung biru oleh semua pimpinan parti dan perwakilan berbanding baju merah seperti sebelum ini.

Sejumlah 5,732 perwakilan UMNO terdiri daripada 22,762 perwakilan serta 993 anggota Wanita, 992 anggota Pemuda dan 991 anggota Puteri dari seluruh negara menghadiri perhimpunan agung parti yang berlangsung selama lima hari, bermula Selasa lalu.

Selain itu, 1,193 petugas media daripada 48 agensi media tempatan dan antarabangsa, media baharu termasuk blogger serta portal berita dalam talian berkampung di Laman Media, PWTC tahun ini bagi membuat liputan perhimpunan parti tonggak Barisan Nasional (BN) itu.

11 dibaca
Berita Harian X