Khamis, 1 Disember 2016 | 11:09am

Operasi SAR ditamatkan, tiada lagi mayat ditemui

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di runtuhan binaan jejambat pejalan kaki di KL Eco City-Mid Valley ditamatkan jam 11 pagi tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata operasi SAR dihentikan susulan pasukan pencari yang melakukan pencarian mengesahkan tiada lagi mangsa tertimbus di bawah runtuhan.

"Unit Anjing Pengesan (K9) yang menjalankan usaha mengesan sejak semalam tidak menemui sebarang tanda terdapat mangsa di bawah runtuhan seperti didakwa pekerja binaan yang terbabit dalam kejadian itu semalam.

"Selepas melakukan pencarian lebih 15 jam, tiada mangsa ditemui dan kita yakin tiada mangsa lain terperangkap di bawah runtuhan," katanya ketika dihubungi, tadi.

Sementara itu, Komander Operasi yang juga Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penguasa Kanan Bomba I, Ruhisha Haris, berkata sebahagian anggotanya akan terus berada di lokasi walaupun operasi SAR sudah ditamatkan.

"Kita bersiap sedia di lokasi sekiranya ada mayat ditemui ketika kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pihak kontraktor," katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.

Operasi SAR di lokasi runtuhan diketuai Ruhisha bersama Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Turut serta pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Dalam kejadian 3.30 petang itu, seorang pekerja binaan warga Vietnam berusia 21 tahun maut manakala lima lagi cedera apabila jejambat pejalan kaki berhampiran Apartmen Abdullah Hukum, Bangsar di sini, runtuh ketika sedang dalam pembinaan.

283 dibaca
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan runtuhan jejambat pejalan kaki di KL Eco City-Mid Valley ditamatkan jam 10.25 pagi tadi selepas tiada lagi mayat mangsa ditemui. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Berita Harian X