Khamis, 1 Disember 2016 | 12:35pm

Duet Achey bersama kanak-kanak perempuan jadi viral


AKSI Achey mendendangkan lagu Memori Berkasih dengan kanak-kanak perempuan melalui aplikasi Smule.

KUALA LUMPUR: Aksi Achey mendendangkan lagu Memori Berkasih dengan kanak-kanak perempuan melalui aplikasi Smule hangat diperkatakan netizen.

Sejak minggu lalu, video nyanyian mereka menjadi viral dengan ramai yang terpegun dengan aksi comel si cilik yang petah menyebut bait lirik dengan aksi bersahaja.

Menghubungi Achey, rupa-rupanya dia sudah lama mengintai peluang untuk berduet dengan kanak-kanak perempuan terbabit yang menggunakan akaun 'Putera Malaya', dipercayai milik bapa si cilik itu.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 30, berkata, dia kagum dengan bakat anak kecil itu yang mampu menghafal beberapa lagu mengikut rentak yang betul.

"Saya sudah lama melihat bakat cilik ini sejak dia berduet bersama Khai Bahar, namun hasrat untuk menyanyi bersama dia sering terhalang kerana kuota nyanyiannya selalu penuh," katanya kepada BH Online.

Achey berkata, apabila peluang itu tiba, dia tidak berlengah mengundang kanak-kanak itu mendendangkan lagu Memori Berkasih.

"Saya kagum dengan kebolehan yang dimiliki kanak-kanak itu dan berharap supaya kebijaksanaannya menghafal digunakan sebaik-baiknya.

"Tidak sangka pula duet bersama kami itu mendapat perhatian ramai. Saya memang aktif di 'smule' kerana menggunakan medium itu untuk mengasah bakat terpendam," katanya.

Mengaku berminat dalam bidang nyanyian, Achey menjadikan aplikasi Smule untuk berlatih sebelum menjayakan persembahan pentas.

Pelawak dari kumpulan Bocey itu mencipta nama dalam persada seni melalui program Bintang Mencari Bintang di bawah didikan Allahyarham Harun Salim Bachik.

85 dibaca
Berita Harian X