Khamis, 1 Disember 2016 | 4:48pm

Syarat Abdul Latif bersaing dengan atlet normal


Atlet lompat jauh paralimpik, Abdul Latif Romly.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenakan syarat buat atlet lompat jauh paralimpik, Abdul Latif Romly sebelum memberi lampu hijau untuk dia bersaing dengan atlet normal pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Walaupun sudah melepasi had kelayakan untuk beraksi pada temasya dwitahunan itu ketika memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik Rio 2016 kategori T20 dengan catatan 7.60 meter (m) namun ia belum cukup untuk meyakinkan KOM.

Sebaliknya, Romly perlu sekurang-kurangnya merekodkan catatan 7.40m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Mac tahun depan bagi membolehkan dia merealisasikan impian bersaing bersama atlet normal.

"Sekarang sasaran saya adalah mengekalkan catatan atas 7m. Memang impian saya untuk bersaing dengan atlet normal pada Sukan SEA nanti, jadi saya akan bekerja keras untuk memastikan saya mendapat tempat.

"KOM letak syarat sekurang-kurangnya saya perlu catat 7.40m di Terbuka Malaysia tahun depan. Memang ikutkan saya sudah layak dengan catatan 7.60m di Rio tetapi KOM mahu lihat prestasi saya kekal konsisten.

"Ini bukan masalah besar buat saya...selagi saya bekerja keras dalam latihan saya percaya boleh melakukannya. Saya juga sudah bersedia untuk bersaing dengan atlet normal," kata Latif ketika ditemui selepas majlis penyerahan ganjaran sebanyak RM100,000 dalam bentuk simpanan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) daripada Kerajaan Perlis di sini, hari ini.

Berdasarkan catatan 7.60m yang dilakukannya di Rio, ia mengatasi catatan pemenang perak pada Sukan SEA Singapura 2015, Pham Van Lam dari Vietnam dengan catatan 7.52m.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Latif mengesahkan dia akan beraksi pada Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Dubai, Februari tahun depan dengan sasaran untuk layak ke Kejohanan Dunia di London.

"Kejohanan itu akan menawarkan mata untuk saya memperbaiki ranking bagi layak ke Kejohanan Dunia. Jadi, saya harap boleh kekalkan prestasi dan melakukan catatan atas 7m," katanya.

Berita Harian X