Jumaat, 2 Disember 2016 | 12:01am

Seri mandian sitrus

Lazimnya, ramai yang mahu nampak wajah cantik dan meningkatkan aura seri muka dengan mengamalkan mandi tujuh jenis bunga pelbagai warna dan dicampurkan dengan limau purut atau nipis.

Amalan sejak turuntemurun itulah yang terus kekal sehingga ke hari ini apabila banyak spa menyediakan perkhidmatan berkenaan dalam suasana menyamankan.

Bagaimanapun, jarang individu atau pusat kecantikan menawarkan mandi sitrus yang menggunakan sepenuhnya buah-buahan sebagai bahan untuk meningkatkan seri wajah.

Ini sesuatu yang harus dicuba untuk memberikan kelainan untuk memanjakan diri. Lebih menarik ia memberikan banyak manfaat bagi menjadikan penampilan lebih segar, bertenaga dan wajah tidak kusam lagi.

Mandi sitrus bakal menjadi trend untuk mengekalkan awet muda menerusi proses mudah.

Justeru, menggunakan bahan utama limau purut, oren dan lemon, membangkitkan bau sensasi buah-buahan bagi melegakan minda. Buahbuahan ini dipotong nipis lalu diisi dalam tab mandi, sebelum si gadis masuk berendam di dalamnya.

Segarkan badan

Meskipun masih lagi asing, mandi sitrus ini dikatakan juga dikatakan mampu menghilangkan bau badan dan menghaluskan kulit kerana buah-buahan berkenaan kaya antioksidan, vitamin C dan lebih mudah disediakan.

Oleh itu, Pemilik Spa Hotel Bluewave, Norzila Hussin, 50, memperkenalkan mandi sitrus sebagai alternatif kepada mandi bunga, berikutan mahu orang ramai merasai pengalaman sendiri kerana rawatan kecantikan begitu popular di Indonesia dan orang Barat.

"Alhamdulillah sambutannya menggalakkan biarpun kali pertama diperkenalkan kepada pelanggan kira-kira dua tahun lalu. Ketika itu mereka tertanya-tanya apa itu mandian citrus kerana kebiasaan mereka ke spa adalah mahu mandi bunga.

"Jadi, saya terangkan kepada mereka kebaikan mandian sitrus yang antaranya memberikan kesegaran badan, menghilangkan bau badan dan haluskan kulitnya lalu terserah kepada mereka yang mana satu mencubanya," katanya kepada Aura, di spanya di Hotel Bluewave, Shah Alam, baru-baru ini.

Bahan semula jadi

Norzila berkata, mandian berkenaan paling mudah disediakan dan boleh dilakukan sendiri di rumah berikutan buah-buahan sentiasa boleh dibeli di kedai atau pasar raya.

"Jika mandi bunga, kita perlu sediakan banyak bunga dan mungkin agak susah didapati, Namun konsep mandi sitrus sama saja manfaatnya, malah lebih semula jadi berikutan menggunakan buahan segar yang tidak disimpan lama.

"Mandi sitrus ini mudah disediakan memandangkan buah yang digunakan senang diperoleh, namun lebih istimewa buahan segar ini kaya dengan kandungan Vitamin C," katanya.

Katanya, dengan kesegaran buah-buahan sitrus itu dan kebaikan vitamin C, membantu memperkayakan antioksida dalam badan sekali gus mmeremajakan kulit.

"Kandungan antioksida daripada bahan semula jadi bukan saja memberikan kesegaran, mewangi tubuh sekali gus memberikan penampilan berseri-seri.

"Ini membawakan kebaikan sebenar kerana ia menggunakan bahan alami, segar, mudah diperoleh dan proses mandian yang menyamankan sambil membelai tubuh dengan hirisan buah," katanya.

Norzila berkata, mandian itu boleh dilakukan sesiapa saja yang menginginkan kulit yang cantik dan sihat, tambahan lagi yang mahu tampil berseri pada hari bahagia, seeloknya kerap melakukan mandi sitrus.

"Ramai tidak sedar aktiviti seharian boleh menyumbang masalah kulit kusam, pigmentasi atau berdaki. Seeloknya rutin harian penjagaan seperti membersih, menyegar dan melembap ini harus dilakukan pada setiap pagi dan malam.

"Justeru, ramai memilih berkunjung ke pusat kecantikan, spa dan sebagainya sebagai rutin gaya hidup dan amalan bagi sesetengah orang yang peka terhadap kecantikan dan penampilan diri kerana banyak boleh dilakukan supaya tampil berseri dan mengambil peluang membelai diri dengan rawatan terentu," katanya yang sudah membuka spa di situ sejak enam tahun lalu.

Lelaki juga boleh amalkan

Berikutan itu, pilihan terserah kepada pelanggan itu sendiri, kerana mandi bunga lebih kepada mewangikan badan dan menaikkan seri, manakala mandian sitrus lebih kepada kesegaran dan kebaikan vitamin C.

"Tiada pantang larang khusus kecuali wanita datang bulan kerana mandian dilakukan dalam tab mandi, sekali gus boleh dilakukan lelaki dan wanita kerana mandian ini berasaskan buah-buahan.

Misalnya mandian hanya RM45, tetapi kita menggalakkan pelanggan mengikuti dengan pakej lain iaitu urutan belakang supaya bakal mempelai merasai keselesaan selepas merawat badan di spa.

"Semuanya bermula apabila tidak banyak spa yang mengetengahkan bahan alami dan saya tertarik untuk mengkomersialkannya kerana mandian menggunakan buahan itu mudah didapati.

"Selain mandian sitrus, digalakkan mengambil pakej lengkap iaitu urutan menggunakan herba di belakang badan (compress herbal back massage) supaya hasil lebih optimum," katanya sambil memberitahu pakej itu hanya pada RM159.

Kurangkan berat badan

Katanya, lemon juga dikatakan mampu membuang toksin dan mengurangkan berat badan bagi individu yang sangat mementingkan berat badan yang ideal.

"Lemon banyak digunakan untuk merawat kecantikan rambut, kulit wajah dan tubuh. Misalnya dengan mandian sitrus ini, tiga buah itu kaya dengan vitamin C membolehkan kita merawat diri dari rambut hingga hujung kaki dengan sempurna," katanya.

  • Info: Khasiat buah sitrus
  • Rawat kulit berjerawat - Kandungan asid sitrik dan alkalinya dapat membunuh bakteria yang menyebabkan timbulnya jerawat.

  • Dijadikan pupur - Caranya ialah mencampurkan jus lemon bersama madu sebelum dilumur pada kulit muka. Hasilnya, wajah akan kelihatan lebih berseri.

  • Tangan dan kuku cantik - Campurkan dua sudu makan perahan lemon dengan satu sudu makan ubat gigi dalam mangkuk lalu gaul sebati.

  • Hilangkan hitam bawah ketiak dan siku - Caranya potong lemon dan gosokkan pada kawasan yang hitam.

  • Kurangkan berat badan - Jus lemon bertindak membantu penghadaman dan merangsang hati untuk menyingkir kotoran dalam badan.

  • Lembutkan tapak kaki -Masukkan enam gelas air suam ke dalam bekas bersama tiga cawan perahan lemon, satu cawan susu, dua sudu makan serbuk kulit kayu manis.

Langkah demi langkah mandian sitrus

1. Rendaman bersama kelopak bunga ros dan limau suam selama 15 minit sebagai simbolik mengalu-alukan kedatangan ke spa, tujuannya yang lain bersihkan kaki.

2. Tuangkan minyak aroma terapi ke serata badan. Minyak dalam keadaan suam.

3. Back Herbal ball massage selama 30 minit. Tekapan bermula dari tulang belakang dan ke tulang bahu.

4. Mandi sitrus selama 15 minit. Hirisan lemon, oren dan limau purut digosokkan di badan untuk hasil menyeluruh.

5. Maksimum berendam dalam tab mandi 30 minit.

74 dibaca
Berita Harian X