Sabtu, 3 Disember 2016 | 10:25am

JAIPk lancar Tabung Solidariti Rohingya

PRESIDEN MAPIM, Azmi Abdul Hamid menyampaikan sumbangan untuk kepada Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin pada majlis pelancaran Tabung Solidariti Rohingya Peringkat Negeri Perak sempena program Solidariti Rohingya dan Kepedulian Ummah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh. - Foto BERNAMA

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) malam tadi, melancarkan Tabung Solidariti Rohingya Peringkat Negeri Perak sempena program Solidariti Rohingya dan Kepedulian Ummah di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata ia sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib yang menimpa etnik Rohingya ketika ini.

Katanya, setakat ini lebih RM7,000 dikumpul hasil sumbangan orang ramai termasuk menggerakkan pasukan JAIPk ke jabatan kerajaan.

"Minggu hadapan, kita akan menggerakkan tabung ini ke lebih 600 masjid dan lebih 30 surau Jumaat di negeri ini.

"Justeru, kita memohon dan mengharapkan keprihatinan umat Islam untuk menderma," katanya pada sidang media selepas melancarkan tabung berkenaan.

Turut hadir, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Azmi Abdul Hamid dan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim.

Mohd Yusop berkata, pada solat Jumaat di seluruh negeri minggu lalu, bacaan Qunut Nazilah diadakan sementara pada khutbah Jumaat semalam, isinya turut berkisar kepada situasi yang menimpa umat Islam Rohingya.

Lebih 1,000 orang termasuk 300 etnik Rohingya menghadiri program berkenaan dengan antara pengisiannya adalah ceramah dan tayangan video berkenaan isu dan kekejaman terhadap etnik berkenaan.

Berita Harian X