Ahad, 7 Disember 2014 | 10:00pm

Piala AFF: Vietnam benam Harimau Malaya 2-1 di Shah Alam

PEMAIN Vietnam meraikan kemenangan menewaskan Malaysia 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam sebentar tadi. - Foto AFP

SHAH ALAM: Skuad Harimau Malaya kini meniti ranjau sukar selepas tewas kepada Vietnam 2-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama, Piala AFF Suzuki di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pelawat yang lebih agresif menang menerusi jaringan Voo Huy Toan pada minit ke-32 dan Nguyen Van Quyet pada minit ke-60.

PEMAIN Vietnam, Nguyen Van Quyet (tengah) bijak memperdaya pertahanan Malaysia sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam malam tadi. Malaysia tumbang kepada Vietnam 1-2. - Foto AFP

Gol tuan rumah yang juga jaringan pembukaan di sumbang oleh kapten pasukan, Shafiq Rahim hasil sepakan penalti pada minit ke-14.

Perlawanan separuh akhir kedua akan diadakan di Stadium My Dihn, Hanoi pada 11 Disember ini untuk penentuan tiket ke final kejohanan.

Kehadiran 65,000 penyokong setia membanjiri stadium seawal jam 4 petang tadi juga nyata gagal memberi rangsangan semangat buat pemain untuk membuat gerakan berbahaya mencipta peluang jaringan gol.

Malaysia turut melakukan tiga pertukaran pada babak kedua dengan memasukkan Gary Steven Robbat, Abdul Manaf Mamat dan Indra Putra Mahayuddin, namun ia gagal membutirkan sebarang hasil untuk sekurang-kurangnya mencari keputusan seri.

Pelawat memiliki dua peluang lebih awal, namun ketangkasan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menggagalkan hasrat itu.

Selang dua minit kemudian, tuah jelas buat Malaysia selepas pengadil memberikan sepakan penalti atas kekasaran dilakukan pertahanan Vietnam.

Peluang itu nyata dimanfaatkan sebaiknya oleh Safiq Rahim untuk membantu Harimau mendahului lawan 1-0.

Tersentak, Vietnam bangkit menyamakan kedudukan minit ke-32 hasil jaringan Huy Toan selepas Khairul Fahmi gagal menepis kemas keluar bola.

Malaysia memperoleh peluang minit ke-40 menerusi sepakan percuma oleh Mohd Hafiz Kamal pada jarak dekat, berjaya melewati benteng pertahanan Vietnam, namun dinafikan penjaga gol, Tran Nguyen Manh.

Memasuki babak kedua perlawanan, Malaysia melakukan asakan bertubi di kubu lawan untuk mencipta peluang jaringan, namun barisan pertahanan Vietnam nyata sukar ditembusi.

Tuan rumah tersentak dengan jaringan kedua Van Quyet hasil rembatan terus ke gawang Malaysia, menjadikan Vietnam mendahului 2-1.

Rentak permainan sedikit terencat memasuki 10 minit akhir perlawanan akibat hujan, menjadikan keadaan padang licin, sekali gus membataskan pemain membuat beberapa peluang jaringan.

Gawang Malaysia sekali lagi diuji pada minit ke-72, namun Khairul Fahmi berjaya mematahkan serangan Vietnam.

BARISAN PEMAIN

MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat, Mahalli Jasuli, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Mohamad Muslim Ahmad, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Safiq Rahim (kapten), S Kunalan, Mohd Hafiz Kamal (Gary Steven Robbat), Azamuddin Mohd Akil (Indra Putra Mahayuddin), Norshahrul Idlan Talaha (Abdul Manaf Mamat), Mohd Safee Mohd Sali.

VIETNAM: Tran Nguyen Manh, Le Phuoc Tu, Dinh Tien Thanh, Nguyen Van Bien,Ngo Hoang Thinh, Le Cong Vinh (kapten), Nguyen Van Quyet, Que Ngoc Hai, PhamThanh Luong (Mac Hong Quan), Vo Huy Toan (Nguyen Thanh Hien), Nguyen Huy Hung.

PENGADIL: Ma Ning (China)

Berita Harian X