Sabtu, 3 Disember 2016 | 1:57pm

Perluas program PERMATA pintar ke seluruh negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memperluas program PERMATA khususnya PERMATA pintar ke seluruh negara berikutan terbukti keberkesanannya dalam melahirkan ramai pelajar pintar di kalangan orang Melayu.

Perkara itu disaran wakil Mahasiswa Nasional, Muhammad Nur Sadikin Mohd Khusni ketika membahaskan usul agama dan pendidikan di Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga disaran untuk mewujudkan lebih banyak Pusat PERMATA pintar agar pelajar pintar yang lahir saban tahun mendapat peluang yang adil dan saksama.

"Demi mencapai sebuah negara maju, Malaysia perlu melahirkan lebih ramai insan bertaraf antarabangsa, kita perlu bersaing di peringkat global dan PERMATA pada hari ini berjaya membuktikan orang Melayu mampu menggugat pasaran kerja dunia.

"Jumlah Pelajar Pintar Paling Rendah adalah pada nisbah satu dalam 10,000, Pelajar Pintar Sederhana adalah satu dalam 100,000 manakala Pelajar Pintar Sangat Tinggi adalah satu dalam 1 juta.

"Bayangkan betapa ramai insan cerdik pandai yang berpotensi untuk menyumbang kepada negara namun tidak mendapat platform yang sewajarnya.

"Justeru pihak universiti juga disaran untuk mengkaji dan mengaplikasi modul PERMATA pintar di universiti masing-masing," katanya.

Muhammad Nur Sadikin berkata, beliau yang juga Alumni Kumpulan Pertama projek perintis PERMATA pintar diilhamkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang senang namun masih berpeluang untuk mendapat pendedahan pendidikan bertaraf antarabangsa.

"Sejujurnya hampir setiap kali saya bercerita mengenai Program Permata Negara pasti ada yang beranggapan ianya program pra-sekolah dan sering menjadi 'peluru' bagi pihak pembangkang dalam pembentangan bajet tahunan negara.

"Namun hakikatnya, melalui PERMATA pintar, saya berjaya mewakili Malaysia ke peringkat Antarabangsa dalam bidang Robotik dan Sains Teknologi seawal usia 16 Tahun.

"Pada tahun ini saya sekali lagi terpilih untuk mewakili Malaysia di ASEAN+3 Educational Forum 2016' sebagai salah satu daripada tiga penderaf utama 'ASEAN Joint Statement' untuk dibentangkan kepada Sekretariat ASEAN pada hujung tahun ini," katanya.

Berita Harian X