Sabtu, 3 Disember 2016 | 3:40pm

Bolt menang Anugerah Atlet Terbaik IAAF


RAJA pecut, Usain Bolt dan Atlet Ethiopia, Almaz Ayana dinobatkan sebagai atlet lelaki dan wanita terbaik Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF). - Foto Reuters

MONACO: Raja pecut, Usain Bolt sekali lagi dinobatkan sebagai atlet lelaki terbaik Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), sekali gus menjadi atlet pertama memenangi anugerah itu sebanyak enam kali.

Atlet Ethiopia, Almaz Ayana pula muncul pemenang anugerah bagi kategori wanita selepas meraih emas dalam acara 10,000 meter (m) di Rio.

"Saya hidup untuk menikmati saat saya berjalan ke stadium," kata Bolt, yang akan bersara tahun depan. "Saya suka bersaing, saya bermimpi berada di stadium dan bersaing dengan (atlet) yang terbaik."

Bolt, sebelum ini memenangi anugerah itu pada tahun 2008, 2009, 2011, 2012 dan 2013, dan kali ini dia sekali lagi menerima anugerah berkenaan prestasi cemerlang meraih tiga pingat emas (100m, 200m dan lari berganti-ganti 4x100m) di Sukan Olimpik Rio.

Atlet berusia 30 tahun itu mendominasi acara 100m dengan catatan 9.81 saat dan memenangi acara 200m empat hari kemudian selepas merekodkan masa 19.78 saat.

"Apabila anda dinobatkan sebagai atlet terbaik, bermakna semua kerja keras adalah berbaloi," kata Bolt.

"Jadi jika saya boleh menang untuk tahun keenam, ia bermakna saya melakukan lebih baik dari yang pertama." - AFP

Berita Harian X