Sabtu, 3 Disember 2016 | 8:29pm
PENGURUS Chelsea, Antonio Conte. - Reuters

EPL: Conte senaraikan Fabregas temu Man City

MANCHESTER: Cesc Fabregas kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama Chelsea ketika pengurus, Antonio Conte merombak pasukannya buat kali pertama dalam tujuh perlawanan menjelang pertembungan sukar Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester City, malam ini.

Fabregas yang beraksi bersama pengurus City, Pep Guardiola di Barcelona dimasukkan bagi menggantikan Nemanja Matic yang difahamkan sedang mengharungi kecederaan.

Kali terakhir Fabregas diturunkan ialah ketika kekalahan 3-0 Chelsea kepada Arsenal pada 24 September lalu dengan ketiadaannya menyaksikan kelab London itu mengharungi tujuh kemenangan berturut-turut.

Guardiola turut melakukan enam perubahan dalam kesebelasan utama di Etihad yang lebih memberi tumpuan terhadap pertahanan Chelsea menerusi formasi menyerang, 3-2-4-1.

John Stones, Ilkay Gundogan, Jesus Navas, David Silva, Kevin De Bruyne dan Leroy Sane menggantikan Bacary Sagna, Gael Clichy, Fernando, Raheem Sterling, Yaya Toure serta Nolito.

Pemain sayap England, Sterling yang berdepan kecederaan ketika kemenangan 2-1 City ke atas Burnley, minggu lalu tidak disenaraikan.

Chelsea ketika ini memiliki kelebihan satu mata di depan City di puncak liga. - AFP

Berikut adalah kesebelasan utama Chelsea dan City

City: Claudio Bravo (PG), John Stones, Nicolas Otamendi, Aleksandar Kolarov, Jesus Navas, David Silva, Fernandinho, Ilkay Guendogan, Leroy Sane, Kevin de Bruyne, Sergio Aguero

Chelsea: Thibaut Courtois (PG), Gary Cahill, David Luiz, César Azpilicueta, N'Golo Kanté, Cesc Fàbregas, Marcos Alonso, Victor Moses, Diego Costa, Eden Hazard, Pedro

Berita Harian X