Sabtu, 3 Disember 2016 | 10:05pm

Malaysia catat tujuh kes Zika

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. - Foto Rasul Azli Samad
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. - Foto Rasul Azli Samad

KUALA LUMPUR: Bilangan kes disahkan positif Zika di negara ini masih kekal tujuh kes berdasarkan laporan yang diperoleh pada 1 September hingga 28 November 2016.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dalam pada itu, sebanyak 1,589 sampel darah dan air kencing yang diuji daripada pesakit yang menunjukkan gejala virus Zika adalah negatif.

Beliau berkata, keputusan itu berdasarkan pemantauan survelan makmal yang dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari Jun 2015 sehingga 26 November 2016.

"Terdapat 75 negara yang melaporkan jangkitan Zika berdasarkan laporan terkini yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 24 November 2016 ," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Mengenai denggi, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak enam kematian dilaporkan pada minggu ke-47 (20 November hingga 26 November 2016).

Beliau berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat denggi di negara ini dari Januari sehingga 26 November mengalami pengurangan 25.7 peratus iaitu 220 kematian berbanding 296 kematian pada tahun 2015.

Katanya, lokaliti wabak dan hotspot juga menunjukkan pengurangan pada minggu ke-47 berbanding minggu sebelumnya.

"Sebanyak 374 lokaliti wabak dan 37 hotspot dikenal pasti antara di Selangor (33) dan Perak (2), manakala Kuala Lumpur, Putrajaya dan Johor, masing-masing satu lokaliti.

"Pada minggu ke-47 tahun ini, sebanyak 1,257 kes dilaporkan berbanding 1,201 kes pada minggu sebelumnya menyaksikan peningkatan sebanyak 56 kes iaitu 4.7 peratus.

"Berdasarkan pemantauan KKM dari Januari hingga 26 November lalu, jumlah kumulatif kes demam denggi adalah sebanyak 94,337 kes iaitu mencatatkan penurunan 14,829 kes (13.6 peratus) berbanding 109,166 kes dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X