Ahad, 4 Disember 2016 | 5:21pm

Geran RM10j galak pelajar universiti berniaga


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap sesi One SSM Talkshow Bersama Perdana Menteri di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperuntukkan geran khas RM10 juta untuk disalurkan dalam tempoh 10 tahun bagi membolehkan pelajar universiti mendaftar perniagaan secara percuma.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan inisiatif terbaharu itu, berkata geran itu adalah untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam perniagaan, termasuk secara dalam talian.

"Peruntukan khas ini untuk membantu pelajar. Saya juga mengharapkan mereka (pelajar) memanfaatkan pelbagai program lain yang ditawarkan kerajaan, termasuk e-usahawan di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)," katanya pada sesi One SSM Talkshow Bersama Perdana Menteri di Kuala Lumpur, hari ini.

Sesi soal jawab yang berlangsung kira-kira 20 minit itu dihoskan personaliti, Fizo Omar dan Mohd Shahren Mohd Yusri.

Najib turut meluangkan masa melawat gerai pameran Karnival One SSM Plus, bertempat di Medan MARA, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata SSM akan memperuntukkan RM1 juta yang akan dimanfaatkan oleh kira-kira 10,000 pelajar di seluruh negara, tahun ini.

Katanya, berkuat kuasa 1 Januari 2017, pelajar yang ingin mendaftar perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1957 akan dikecualikan daripada sebarang bayaran.

"Geran RM10 juta untuk tempoh 10 tahun. Untuk tahun ini SSM memperuntukkan RM1 juta. Jika ia mendapat sambutan luar jangka, mungkin kita akan tingkatkan jumlahnya pada tahun berikutnya.

"Jumlah geran tahunan bergantung kepada sambutan pelajar untuk mendaftar perniagaan. RM10 juta tidak semestinya perlu dihabiskan mengikut tempoh yang ditetapkan. Jika ia bagus, mungkin habis lebih awal.

"Inisiatif ini bertujuan memberi kesedaran dan galakan kepada golongan muda untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan mendaftarkan perniagaan secara sah di sisi undang-undang," katanya.

Hamzah berkata, untuk mendaftar perniagaan, SSM menggalakkan pelajar universiti untuk hadir ke pejabat agensi itu bagi membolehkan identiti mereka disahkan serta-merta dan layak menerima insentif itu.

"Kita galakan mereka tampil ke pejabat SSM dan kad matrik universiti. Pendaftaran secara dalam talian juga boleh dilakukan tetapi SSM akan mengambil sedikit masa untuk mengesahkan mereka adalah pelajar universiti.

"Tanpa geran ini, pelajar perlu membayar kos mendaftar perniagaan milikan tunggal atas nama sendiri pada kadar RM30 dan kos daftar pemilikan tunggal atau perniagaan perkongsian menggunakan nama tred pada RM60 serta cetakan maklumat RM10.60, termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST)," jelasnya.

Beliau bagaimanapun berkata, penambahan cawangan perniagaan tidak termasuk dalam inisiatif itu.

Berita Harian X