Isnin, 5 Disember 2016 | 12:02am

UKM cipta pengecas tanpa guna sumber elektrik


PRO-CANSELOR UKM, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar (dua dari kiri) melawat pameran sempena Syarahan Perdana Pengukuhan Jawatan Profesor sambil diiringi Prof Noor Azlan (kiri) dan Siti Kartom.

BANGI: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mencipta prototaip alat pengecas untuk peranti mudah alih tanpa menggunakan sumber elektrik grid.

Ketua penyelidik, Prof Dr Siti Kartom Kamarudin, berkata alat pengecas itu ialah alternatif daripada sumber keterbaharuan yang sesuai untuk menyokong teknologi bateri.

"Inovasi ini dibangun berdasarkan penyelidikan saya, iaitu Sel Fuel Metanol Langsung (DMFC), peranti yang mampu menukar tenaga kimia kepada elektrik menggunakan metanol dan udara sebagai bahan suapan.

Produk ini juga mesra alam kerana hanya menggunakan 17 peratus metanol, malah selamat digunakan ketika dalam penerbangan," katanya selepas menyampaikan Syarahan Perdana Sempena Pengukuhan Jawatan Profesor di UKM, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Tidak perlu dicas

Prof Siti Kartom berkata, antara kelebihan DMFC berbanding bateri biasa ialah tidak perlu dicas dan boleh digunakan dengan hanya melakukan pengisian semula fuel metanol yang murah dan mudah didapati.

"DMFC menghasilkan kuasa menyamai bateri AA atau AAA dan sesuai menjadi sumber kuasa lampu, jam, pengecas bateri, pembantu peribadi digital (PDA) dan pemain Mp3.

"Sehubungan itu, alat berkenaan amat berguna, terutama di tempat yang tidak mempunyai sumber elektrik seperti kawasan pedalaman atau lokasi yang ditimpa bencana dan terputus bekalan elektrik, terutama membabitkan aspek telekomunikasi.

Cara menggunakannya sama seperti pengecas sedia ada di pasaran, cuma ia dikuasakan daripada metanol dan udara," katanya.

Kit Pembelajaran DMFC

Mengulas lanjut, Prof Siti Kartom berkata, beliau turut menghasilkan Kit Pembelajaran DMFC sebagai pendedahan ilmu tenaga keterbaharuan pada peringkat sekolah menengah bagi meningkatkan minat pelajar terhadap subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

"Selain pembangunan sistem DMFC, saya juga menjalankan penyelidikan fundamental untuk meningkatkan prestasinya.

"Perancangan kami ialah menghasilkan bekalan kuasa mudah alih pada tahun 2020 yang mendapat banyak permintaan, terutama dalam sektor perubatan dan mencipta motosikal dengan kuasa satu kilowatt menjelang tahun 2030," katanya.

INFO: Sel Fuel Metanol Langsung (DMFC)

- DMFC menghasilkan kuasa menyamai bateri AA atau AAA dan sesuai menjadi sumber kuasa lampu, jam, pengecas bateri, pembantu peribadi digital dan pemain Mp3

12 dibaca
Berita Harian X