Isnin, 5 Disember 2016 | 10:19am

Pencak Silat: Al Jufferi buru gelaran dunia ke-3


Al Jufferi (baju merah) giat berlatih di gelanggang Lila Bhuana.

BALI: Olahragawan negara 2015, Al Jufferi Jamari bakal membuka gelanggang bagi memburu gelaran dunia ketiganya di Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana di sini.

Juara dunia yang bertanding dalam Kelas Putra E itu dijadual bertemu lawan dari Algeria, Beltas Salim di pusingan awal, hari ini.

Selain Al Jufferi, turut menggalas cabaran negara ialah Muhammad Zarish Hakim Shukor dalam Kelas Putra C, Wan Ahmad Rasfan Wan Abdul Halim (Kelas Putra A) dan Siti Rahmah M Nasir (Kelas Putri E).

"Al Jufferi belum pernah bertemu dengan pesilat dari Algeria itu," kata Pengurus Besar persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Osman Nok.

"Sebenarnya, susah untuk dijangka tetapi sekiranya di atas kertas kesemua mereka ini boleh memenangi perlawanan hari ini.

"Namun, semua itu sukar diramal kerana apa juga boleh berlaku di dalam gelanggang."

Sementara itu, semalam empat pesilat negara daripada lapan yang bertanding tewas di pusingan pertama. Antara yang tewas itu ialah Muhammad Faizul Nazir yang tumbang di tangan pesilat tuan rumah, Galang Tri Widya dalam Kelas Putra B, Nurul Anissa Sobri (Kelas Putri A) dan Billage Nakang (Kelas bebas).

Berita Harian X