Isnin, 5 Disember 2016 | 5:48pm

Mohd Al Jufferi mudah benam peserta Algeria di Bali


PESILAT elit, Mohd Al Jufferi Jamari. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

BALI: Gelaran sebagai Olahragawan Negara 2015 menjadi pembakar semangat buat pesilat elit, Mohd Al Jufferi Jamari bagi mengekalkan status juara bertahan di Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana, di sini.

Pada pusingan awal hari ini, pesilat berusia 24 tahun itu menewaskan lawannya dari Algeria, Beltas Salim dengan keputusan 5-0 sekali gus menempah tiket mara ke pusingan suku akhir Kelas Putra E edisi ke-17 berkenaan dan dijadual bakal bertemu lawan dari Singapura selepas ini.

Selain misi utamanya itu, Al Jufferi juga sedang memburu gelaran ketiga dunia selepas meraihnya pada tahun 2012 dan 2015.

Mengulas sekiranya dia berdepan tekanan bagi melengkapkan dua misinya, pesilat dari Kuantan Pahang itu berkata:

"Ada sedikit. Namun saya anggap ia sebagai satu cabaran buat saya.

"Yang memberi semangat kepada saya adalah gelaran Olahragawan Negara. Sekiranya saya tidak dapat mengekalkannya (juara dunia), sudah tentu saya sangat kecewa namun saya akan cuba mempertahankannya.

"Mengulas mengenai aksi pertamanya hari ini Al Jufferi berkata, dia hanya mengikut rentak lawan dari Algeria itu bagi mengelak sebarang kecederaan tidak diingini.

"Apabila lawan bermain tenang maka kita tidak boleh melebihinya. Ia bagi mengelak sebarang kecederaan yang berpunca daripada diri sendiri.

"Saya mempunyai 18 lagi lawan yang perlu dihadapi jadi saya kena terus konsisten dengan cara permainan.

"Saya perlu melihat kepada lawan, kalau agresif kita perlu agresif. Kalau serius perlu serius dan kalau coraknya perlahan maka perlu perlahankan rentak. Semua ini bagi mengelak kecederaan.

"Sekiranya cedera, masa hendak pulih itu mungkin paling cepat tiga hari," katanya.

Berita Harian X