Isnin, 5 Disember 2016 | 5:56pm

Skuad petangue negara menang gangsa Piala Dunia


FOTO hiasan.

KUALA LUMPUR: Pasukan petanque negara meraih pingat gangsa dalam kategori triple (Piala Negara-Negara) pada kejohanan Piala Dunia di Antananarivor, Madagascar yang berakhir semalam.

Kejayaan itu menyaksikan peluang cerah dimiliki pasukan negara untuk mencapai sasaran dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun depan.

Pada kejohanan yang berlangsung selama empat hari itu, jurulatih pasukan negara Zanilisa Mohamad mempertaruhkan empat pemain kebangsaan - Muhammad Haffizudin Mohd Ali, Saiful Bahri Musmin, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Mohamad Safi Azrol Othman.

Presiden Persekutuan Petanque Malaysia (PPM), Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim turut melahirkan perasaan bangga terhadap pencapaian pasukan negara pada kejohanan yang bertaraf dunia itu.

"Menerusi pencapaian yang membanggakan ini, harapan Malaysia untuk memperoleh dua pingat emas yang disasarkan pada Sukan SEA 2017 amat cerah.

"Kita berharap semua semua atlet dapat mempertingkat lagi usaha untuk memperoleh pencapaian yang lebih gemilang," katanya, hari ini.

Kejohanan Petanque Piala Dunia kali ke-47 itu disertai 48 negara itu.

Tahiti muncul juara kategori triple (Piala Negara-Negara) selepas menewaskan Kanada pada perlawanan akhir sementara Malaysia dinobatkan pemenang tempat ketiga bersama China.

Berita Harian X