Isnin, 5 Disember 2016 | 10:39pm

PM lawat 'Kilang Bateri' sempena Program Mesra Bertemu Rakyat

DATUK Seri Najib bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada program mesra bertemu rakyat di Kilang Bateri di Johor Bahru, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
DATUK Seri Najib bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada program mesra bertemu rakyat di Kilang Bateri di Johor Bahru, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

JOHOR BAHRU: Orang ramai tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Datuk Seri Najib Razak pada program mesra bertemu rakyat di Kilang Bateri di sini, hari ini.

Perdana Menteri yang tiba pada jam 9.45 malam ini turut diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.

Beliau kemudian mengadakan lawatan dan bertemu pengunjung serta peniaga di pusat perniagaan 100 peratus milik Bumiputera itu.

Najib dalam ucapannya berkata, Kilang Bateri adalah hasil inovatif anak muda yang berupaya melahirkan pusat perniagaan kreatif sehingga diiktiraf sebagai nadi Johor Bahru.

"Saya amat berbangga dengan usaha yang diambil sekumpulan anak muda ini dan saya ingin mengambil kesempatan ini bahawa esok saya akan mengumumkan secara terperinci bantuan bagi membantu usahawan muda dalam bentuk geran melalui Khazanah Nasional Bhd.

"Bantuan ini kelak diharap dapat membantu usahawan muda untuk terus maju dan berjaya," katanya.

Kilang Bateri dahulunya cukup sinonim dengan penghasilan bateri jenama Eveready, tetapi kini ia berubah wajah menjadi tempat bersantai serta menjamu selera popular di bandar raya ini.

Terdapat kira-kira 184 gerai makanan, minuman, pakaian, pusat kecantikan dan kedai buku. 

Lebih menarik, setiap sudut kilang itu diubahsuai bertemakan klasik atau vintage dengan hampir segala-galanya berada dalam satu 'gudang'.

Ia menjadi antara destinasi popular di Johor Bahru yang sentiasa menggamit kehadiran pengunjung.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X