Selasa, 6 Disember 2016 | 12:16am

Kelantan siasat mangsa banjir tercicir bantuan rumah

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menyiasat dakwaan masih ada mangsa banjir yang melanda negeri itu pada 2014, tercicir daripada mendapat bantuan Rumah Kekal Baharu (RKB).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Ab Fattah Mahmood, berkata siasatan perlu bagi mengelak penduduk menjadi mangsa, sedangkan bencana banjir sudah dua tahun berlalu.

"Setakat ini hanya satu kes sahaja kami terima aduan iaitu di Kuala Krai. Saya sudah arahkan siasatan menyeluruh bagi memastikan tiada sebarang keciciran berlaku.

"Sebenarnya dalam hal ini, penghulu dan wakil rakyat setiap kawasan sepatutnya memainkan peranan dalam memastikan senarai nama yang didaftarkan, benar-benar memerlukan kerana mereka lebih dekat dengan masyarakat di situ," katanya kepada BH, semalam.

Ab Fattah memaklumkan, kuota RKB yang perlu dibina oleh kerajaan negeri sudah pun mencukupi, namun ia masih terbuka kepada sesiapa yang layak dan masih belum mendapat rumah berkenaan.


PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood. - Foto Syamsi Suhaimi

"Wang peruntukan masih ada, kuota Kerajaan Pusat juga masih ada, namun kita harap pemimpin dalam kalangan masyarakat cakna terhadap penduduk kawasan masing-masing bagi mengelakkan sebarang keciciran," katanya

Ab Fattah memaklumkan, kerajaan negeri dan Pusat sentiasa mengadakan mesyuarat bagi melakukan pemutihan senarai nama yang didapati cuba memohon rumah lebih dari sebuah, bagi mengelak penyelewengan.

"Ada satu kes dikesan di Guchil, Kuala Krai, ada di antara penerima sudah mempunyai rumah yang disediakan Kerajaan Pusat, namun namanya masih ada dalam senarai penerima RKB negeri.

"Nama mereka yang didapati cuba memohon kali kedua akan dikeluarkan serta-merta, bagi mengelak penyelewengan bantuan rumah berkenaan," katanya.

 

Mengulas mengenai mangsa banjir yang tinggal dalam khemah, beliau berkata, mereka yang mendapat rumah ditempatkan di rumah transit atau kem tentera Sungai Durian dan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Gua Musang.

"Jika masih ada yang tinggal di bawah khemah, mereka membinanya di tepi rumah transit atau hanya seolah-olah untuk mendapatkan perhatian orang ramai kerana rumah transit memang mencukupi.


MANGSA banjir ditempatkan di Pusat latihan Khidmat Negara (PLKN) Eknobotani. - Foto Ramli Ibrahim

PEMANDANGAN luar di perumahan transit di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Eknobotani selepas rumah mangsa musnah akibat banjir besar pada Disember 2014 lalu. - Foto Ramli Ibrahim

Sementara itu, 225 Rumah Kekal Baharu (RKB) daripada 1,759 rumah yang dibina untuk keluarga mangsa banjir di Kelantan pada Disember 2014, belum siap.

Daripada jumlah itu, 125 sedang dibina agensi Kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), manakala baki 100 rumah lagi tanggungjawab kerajaan negeri.

Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri dipertanggungjawab membina 501 unit RKB tetapi 100 unit belum disiapkan meliputi empat di Kota Bharu; 70 di Gua Musang dan 26 Kuala Krai.

"Mangsa banjir ini tiada tanah menyebabkan berlaku kelewatan dalam proses pembinaan rumah, selain faktor infrastruktur kerana ia dilakukan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata daripada jumlah keseluruhan rumah yang musnah, Kerajaan Persekutuan diberi tanggungjawab membina sebanyak 1,135 RKB.

"Sehingga kini, sebanyak 1,010 RKB di Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang sudah siap. Baki projek membabitkan 125 rumah di Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada November tahun hadapan.

"Projek di Kuala Krai dilakukan di tiga lokasi iaitu 58 di perumahan kelompok PUSPAKOM, Manjor (30) dan Telekong (18). Kelewatan pembinaan RKB disebabkan isu tanah yang begitu rumit," katanya.


ADA mangsa banjir di Gua Musang masih tinggal dalam khemah walaupun sudah dua tahun bencana berlalu. Foto Ramli Ibrahim

KEADAAN dalam khemah milik sebuah keluarga mangsa banjir 2014 yang masih didiami hingga kini di Kampung Simpang Empat Kundur, Gua Musang. - Foto Ramli Ibrahim

INFO

-RM65,000

kos pembinaan RKB

1,135 unit rumah

dibina oleh agensi kerajaan Persekutuan

501 unit rumah

dibina oleh kerajaan negeri

RUMAH kekal di Kampung Sungai Durian yang sudah siap sepenuhnya dan menunggu majlis penyerahan kunci kepada mangsa banjir 2014. NSTP/FATHIL ASRI.
MANGSA banjir 2014 yang masih mendiami perumahan transit yang disediakan Mercy di Kampung Tualang. NSTP/FATHIL ASRI.
SEBAHAGIAN daripada rumah transit mangsa banjir 2014, yang disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Jalan Geale. NSTP/FATHIL ASRI.
MENTERI Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed,
RUMAH kekal untuk menempatkan mangsa banjir di Kampung Staponal, Batu Jong, Kuala Krai. -Foto Fathil Asri
RUMAH kekal di Kampung Jambatan Bengkok, Bertam Baru. - Foto Ramli Ibrahim
Berita Harian X