Selasa, 6 Disember 2016 | 12:06pm

Siti Rahmah buru gelaran hatrik


NURUL Ain menerima rawatan daripada fisioterapi Institut Sukan Negara (ISN).

BALI: Pingat gangsa berada dalam genggaman Nurul Ain Sohrab meskipun pesilat negara itu terpaksa melupakan perlawanan separuh akhir Kelas Putri D Kejuaraan Silat Pencak Dunia hari ini ekoran kecederaan di bahagian lutut kirinya.

Semalam, pesilat dari Sabah itu menewaskan wakil Iran, Khalili Baryehkhani pada aksi suku akhir - perlawanan yang menyaksikan kecederaan itu berlaku pada pusingan pertama.

Namun, atas semangat yang ditonjolkan Nurul Ain berjaya meneruskan saingan hingga ke pusingan ketiga dan memenangi perlawanan dengan keputusan penuh 5-0.

"Buat masa ini, saya tak tahu lagi mengenai keadaan saya," kata Nurul Ain. "Saya masih merasakan kesakitan itu."

Sementara itu, juara bertahan dalam Kelas Putri E, Siti Rahmah M Nasir mahu memberi tumpuan penuh bagi membantu pasukan meraih pingat emas pada edisi ke-17 ini berbanding memburu gelaran hatrik di pentas dunia.

Pesilat berusia 29 tahun dari Kuala Terengganu itu muncul juara pada penyertaannya di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2012 dan 2015.

"Tak nak fikir (hatrik)... Siti hanya nak jalankan tanggungjawab untuk dapatkan pingat emas untuk negara. Yang lain itu Siti tak nak fikir tetapi kalau dapat, Alhamdulillah," katanya.

Siti Rahmah mara ke separuh akhir selepas menewaskan lawannya dari Singapura, Atiq Isnarti Roslan dan dijadual bertemu pesilat Belanda Minouche Van Der Hoeven, petang ini.

Berita Harian X