Selasa, 6 Disember 2016 | 12:50pm

Khaizul tidak gentar jumpa pesilat Vietnam

BALI: Mohd Khaizul Yaacob tidak gentar untuk berdepan lawan dari Vietnam menjelang aksi separuh akhir Kelas Putra J Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana, esok.

Pagi tadi, pesilat dari Cameron Highlands, Pahang itu menewaskan lawan dari Belanda, Remi Grooten dengan keputusan 5-0 seterusnya meletakkan dirinya hanya selangkah lagi sebelum ke pentas final.

"Setakat ini saya tidak mempunyai sebarang masalah kecederaan," kata pesilat berusia 26 tahun itu yang membuat penampilan pertamanya di pentas dunia.

"Saya pernah bertemu dengan lawan sebelum ini dan akan bersiap sedia untuk perlawanan esok."

Mengulas mengenai perlawanan suku akhir tadi, Khaizul yang mensasarkan pingat emas di sini berkata: "Saya sedikit keletihan.

"Saya baru menyertai pasukan selama sebulan dan persiapan itu mungkin agak padat tetapi bagi saya itu bukanlah satu alasan. Jadi saya akan terus memberi tumpuan bagi menghadapi perlawanan seterusnya."

Pencapaian terbaik Khaizul ialah memenangi pingat perak di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2014 di Palembang Indonesia selain emas di Kejohanan Silat Asia Tenggara tahun ini.

Berita Harian X