Selasa, 6 Disember 2016 | 3:52pm

Daler berdebar beraksi dengan Nelydia


Daler Yusuf.

KUALA LUMPUR: Sudahlah kali pertama diberi watak utama dalam slot drama di TV3, berganding pula dengan pelakon jelita, Nelydia Senrose, segala-galanya membuatkan Daler Yusuf, 24, gelisah.

Memulakan penggambaran dengan Nelydia, esok, bakat baharu berdarah Melayu-Uzbekistan ini mengaku berdebar menerima tawaran pengarah, Hashim Rejab dalam drama yang diadaptasikan daripada novel Encik Suami Mat Salih Celup itu.

"Selepas drama LipLapRaya terbitan Hypptv, ini adalah kali kedua saya ditawarkan watak utama. Saya tak mampu selindungi rasa gementar kerana drama terbaharu ini akan ditonton di TV3.

"Macam-macam perasaan datang. Saya terfikir bagaimana pula reaksi penonton selepas drama ini disiarkan," katanya kepada BH Online.

Daler juga bimbang dengan mutu lakonannya apatah lagi dibandingkan dengan Nelydia.

"InsyaAllah, saya cuba buat yang terbaik. Rasa gementar jadi bertambah apabila digandingkan dengan Nelydia. Dia berbakat besar. Saya harap dia dapat berkongsi tip lakonan dengan saya.

"Sama seperti judulnya, saya akan menjadi Mat Salih celup dalam drama ini," katanya.

Bermula sebagai model sejak berusia 19 tahun, Daler mengaku perlu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon baharu.

"Saya tidak mahu menjadikan kelemahan berbahasa Melayu sebagai alasan diberi watak

darah campuran atau orang luar negara.

"Kalau boleh, saya nak bawa watak lelaki Melayu. Saya fikir soal wajah bukanlah penghalang. Lihat saja pelakon berdarah kacukan seperti Juliana Evans dan Siti Saleha. Mereka diterima baik kerana fasih berbahasa Melayu," katanya.

22 dibaca
Berita Harian X