Selasa, 6 Disember 2016 | 4:12pm
Keadaan premis barang kemas yang dirompak di Bagan Serai pagi tadi.

4 perompak larikan 5 dulang barang kemas


Anggota menyiasat kes rompakan barang kemas di Bagan Serai pagi tadi.

BAGAN SERAI: Empat perompak bersenjatakan kapak, tukul dan senapang patah, melarikan lima dulang barang kemas dalam rompakan di sebuah premis di Jalan Sepakat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, empat perompak bertopeng yang menaiki sebuah PROTON Wira, melarikan barang kemas berkenaan dalam tempoh beberapa minit.

Pemilik premis, Fong Kok Heng, 51, berkata ketika kejadian beliau bersama isteri, seorang anak dan seorang pekerja baru memulakan perniagaan.

Katanya, sewaktu menyusun barangan kemas untuk diniagakan, secara tiba-tiba sebuah kereta dinaiki empat lelaki berhenti di hadapan premisnya.

"Saya terkejut dengan kehadiran mereka dan segera menekan loceng kecemasan sebelum kami berlari masuk ke dalam premis menyelamatkan diri.

"Ketika kami bersembunyi, terdengar bunyi tembakan disusuli bunyi cermin dipecahkan termasuk meja pameran.

"Dalam sekelip mata saja, lima dulang barang kemas disimpan dalam rak pameran dipecahkan dan dilarikan," katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, mengesahkan kejadian dan berkata polis masih menyiasat termasuk nilai anggaran kerugian.

Berita Harian X