Selasa, 6 Disember 2016 | 11:10pm

Siti Rahmah rujuk rakaman video Nguyen

BALI: Juara dunia dua kali, Siti Rahmah M Nasir akan menggunakan rakaman video pesaingnya dari Vietnam, Nguyen Thi Yen sebagai rujukan sebelum memasuki pentas final Kelas Putri E Kejuaraan Pencak Silat Dunia, esok.

Pertemuan itu adalah ulangan final antara mereka berdua yang mana kali terakhir pada Sukan SEA Singapura, tahun lalu.

Pada ketika itu, Siti Rahmah menang dengan keputusan 5-0 namun pesilat berusia 29 tahun itu sedikit bimbang dengan corak permainan lawannya yang semakin menunjukkan peningkatan.

"Saya dapat lihat yang dia sudah menukar corak permainannya dengan banyak menggunakan (teknik) gunting bawah.

"Bagi saya, dia adalah pesilat yang handal dan mempunyai kepantasan. Jadi, saya akan melihat rakaman videonya semula untuk membuat analisis," kata Siti Rahmah semalam.

Pada aksi separuh akhir, anak kelahiran Kuala Terengganu itu menewaskan lawan dari Belanda, Minouche Van Der Hoeven dengan keputusan 5-0.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Siti Rahmah berkata dia gembira kerana meraih kemenangan namun tidak berpuashati dengan prestasinya sendiri.

"Alhamdulillah dapat masuk final tetapi sedikit kecewa dengan prestasi sendiri tadi (semalam). Ada kelemahan sedikit tetapi mungkin saya dapat perbaiki nanti," katanya.

Sementara itu, Olahragawan Negara 2015, Mohd Al Jufferi Jamari dijadual berdepan serangan psikologi dari tuan rumah pada aksi separuh akhir, hari ini.

Juara dunia yang bertanding dalam Kelas Putra E itu akan memasuki gelanggang bertemu Komang Harik Ai Putra selepas lawannya menewaskan pesilat Vietnam, Vu Van Hoang.

"Dia pesilat dari Bali. Pesilat baharu... boleh tahan juga jadi saya perlu habis-habisan," kata Al Jufferi.

Berita Harian X