Rabu, 7 Disember 2016 | 1:41pm

Peluang Norbaini raih kepercayaan Dhaarma Raj


NORBAINI Hashim. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Lima siri ujian persahabatan di New Zealand bermula Isnin ini, bakal menjadi medan terakhir buat tonggak skuad hoki wanita negara Norbaini Hashim memperagakan aksi terbaik untuk memikat hati pengendali Dhaarma Raj Abdullah.

Norbaini, 28, sebelum ini terpaksa dipinggirkan daripada skuad Malaysia Tigress hampir empat bulan gara-gara kecederaan lutut yang memaksanya melupakan kempen Trofi Juara-Juara Asia dan Liga Hoki Australia 2016.

Namun, namanya kembali disenaraikan dalam skuad 20 pemain yang akan bertolak ke Stratford, New Zealand esok.

Keputusan ini sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada jurulatih Dhaarma Raj untuk memilih senarai 18 terbaik untuk menghadapi Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) di Kuala Lumpur, Januari depan.

"Setiap pemain perlu memanfaatkan Jelajah New Zealand ini untuk memperagakan prestasi terbaik terutamanya Norbaini yang sudah lama tidak beraksi dalam pertandingan kompetitif.

"Sejak saya tiba pada awal tahun ini, dia kerap dibelenggu masalah kecederaan sekali gus tidak memiliki peluang untuk mempamerkan bakatnya seperti dalam video yang ditonton saya

"Dia kena bersaing untuk tempatnya. Sekiranya dia boleh kembali ke tahap asalnya, tidak mustahil untuk dia mendapat tempat ke WHL," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Kali terakhir, arkitek tengah itu menyarung jersi negara adalah pada Jelajah Australia Jun lalu. Norbaini dikatakan memiliki kemampuan menggelecek dan sentuhan penyudah depan gawang yang tinggi.

Dhaarma Raj turut menyenaraikan tiga pemain yang diketepikan pada kempen Trofi Juara-Juara Asia 2016, November lalu - Fatin Naimah Zaki, Syafiqah Mohd. Zain dan Nurul Safiqah Mat Isa.

Namun, dia terpaksa meninggalkan penyerang Nur Zafirah Aziz selepas khidmat pemain berusia 18 tahun itu diperlukan skuad remaja kebangsaan yang beraksi pada Piala Asia Bawah-18 di Bangkok, 16 Disember ini.

"Tiga pemain ini (Fatin, Syafiqah dan Safiqah) menunjukkan satu persembahan yang baik sepanjang sesi latihan, jadi saya rasa mereka berhak mendapat peluang sekali lagi," katanya.

Berita Harian X