Rabu, 7 Disember 2016 | 3:42pm

Dua pelajar didakwa kes buang bayi

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

nfazlina@bh.com.my

KOTA BHARU: Dua pelajar Tingkatan Lima didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan membuang bayi lelaki di Jalan Sultanah Zainab, Lembah Sireh di sini, Julai lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, mengaku tidak bersalah ketika tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Mahkamah menawarkan jaminan RM12,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis setiap minggu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fahrul Razi Zainal Abidin dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nuri Abdul Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang tidak berkahwin, membuang bayi lelaki terbabit di alamat 5148A Sultanah Zainab, Lembah Sireh, Kota Bharu pada jam 9.45 malam, 2 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Ahmad Nuri memohon jaminan ditawarkan kerana kedua-dua tertuduh memberi kerjasama penuh selain baharu selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kedua-dua tertuduh memiliki keputusan baik dalam peperiksaan sebelum ini dan mungkin akan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Mahkamah menetapkan 17 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

21 dibaca
Berita Harian X