Rabu, 7 Disember 2016 | 4:18pm

'Kota Belud Trail' laluan baharu pendakian Gunung Kinabalu


Laluan baharu pendakian ke puncak Gunung Kinabalu yang dinamakan 'Kota Belud Trail'. - Foto Sabah Tourism

KOTA KINABALU: Laluan baharu pendakian ke puncak Gunung Kinabalu yang dinamakan 'Kota Belud Trail' bakal dibuka kepada pendaki bermula Jumaat ini.

Laluan sejauh 1.1 kilometer itu adalah trak alternatif kepada pendaki selain 'Ranau Trail' yang mula dibuka sejak Disember tahun lalu.

Taman-Taman Sabah (TTS) dalam kenyataan hari ini, berkata laluan 'Kota Belud Trail' bakal menjadi daya tarikan baharu kepada pendaki dengan cabaran serta pemandangan Gunung Kinabalu yang berbeza daripada laluan sedia ada.

Upacara pelancaran pembukaan laluan itu dijangka disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun di Timpohon Gate, Taman Kinabalu dengan pendakian akan dilakukan pasukan restorasi Gunung Kinabalu, wakil media serta pendaki biasa. 

"Seramai 32,550 orang telah mendaki Gunung Kinabalu sepanjang tempoh Januari hingga Oktober, tahun ini. Daripada jumlah itu, seramai 18,048 adalah pendaki luar negara manakala 14,502 lagi adalah pendaki warga Malaysia," kata kenyataan itu.

Pendakian Gunung Kinabalu pernah dihentikan sementara berikutan gempa bumi yang mengorbankan 18 nyawa termasuk pendaki dan malim gunung pada 5 Jun tahun lalu.

Bagaimanapun selepas kejadian itu, TTS bersama pelbagai pihak lain mula 'menstrukturkan' semula pendakian ke puncak dengan membina laluan baharu sehinggalah laluan pendakian melalui Ranau Trail dibuka semula pada 1 Disember 2015.

26 dibaca
Berita Harian X