Rabu, 7 Disember 2016 | 4:53pm

Jufferi hanya selangkah lagi lakar hatrik


Olahragawan Negara 2015, Mohd Al Jufferi Jamari.

BALI: Olahragawan Negara 2015, Mohd Al Jufferi Jamari hanya selangkah lagi sebelum melakar sejarah bergelar juara dunia buat kali ketiga berturut-turut pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia.

Sebentar tadi, pesilat yang beraksi dalam Kelas Putra E itu mara ke pentas final selepas mudah menumbangkan pesilat tuan rumah, Komang Harik Ai Putra dengan keputusan 5-0 pada pertarungan separuh akhir.

Al Jufferi dijadual bertemu sama ada pesilat Belanda ataupun Vietnam di pentas final, esok.

"Jika berlawan dengan pesilat tuan rumah dan bermain tanpa teknik jatuhan, memang susah nak menang," kata atlet Program Podium itu.

"Ini kerana, setiap jatuhan memberi mata yang banyak iaitu empat mata dan Alhamdulillah saya dapat melakukannya," tambahnya yang melakukan lima jatuhan pada pertarungan itu.

Selain Al Jufferi, turut layak ke pentas final ialah Razak Ghazali yang beraksi dalam Kelas Putra D dan Siti Rahmah M Nasir (Kelas Putri E).

Berita Harian X