Rabu, 7 Disember 2016 | 11:49pm

Megat Zulkarnain naik angin kes Zarish


DATUK Megat Zulkarnain Omardin (tengah) mempersoalkan keputusan pegawai perubatan perlawanan Zarish yang bertanding di pusingan suku akhir Kelas Putra C semalam, sebentar tadi

BALI: Takkan nak biarkan mati di dalam gelanggang!

Persoalan itu diajukan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin kepada wakil pegawai perubatan di Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana, sebentar tadi.

Perasaan amarah terpendam itu diluahkan selepas pesilat negara, Mohd Zarish Hakim Shukor tidak menerima keputusan yang beretika daripada pegawai perubatan perlawanan yang bertugas biarpun dia sudah pengsan.

Pegawai berkenaan membuat keputusan Zarish tidak pengsan pada perlawanan suku akhir Kelas Putra C, semalam dan menyebabkan lawannya yang juga pesilat tuan rumah, Hanifan Yudani Kusuma dihadiahkan kemenangan mutlak oleh wasit.

"Ini tak boleh tolak ansur!," kata Megat Zulkarnain kepada media. "Saya bertanya kepada pegawai perubatan, kalau ada pendarahan dalaman dan pesilat mati, apa nak jawab?

"Perkara seperti ini perlu dibendung. Kita nak beritahu mereka yang perkara seperti ini salah kerana tidak boleh biarkan pesilat begitu saja."

Megat juga percaya ada 'tangan ghaib' yang mempengaruhi pegawai berkenaan untuk membuat perkara tidak beretika sebegitu.

"Kami akan buat bantahan kerana kalau dibiarkan perkara ini maka sukan ini tidak akan keseronokannya lagi.

"Kami juga (PESAKA) akan membuat laporan rasmi bagi membantah tindakan itu kepada Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), minggu ini," tambah Megat Zulkarnain.

Berita Harian X