Khamis, 8 Disember 2016 | 3:46pm

Banyak kes doping Olimpik London terdedah - IOC

LAUSANNE: Ujian doping semula terhadap sampel atlet pada Sukan Olimpik 2012 London dijangka bakal mendedahkan "lebih banyak" kes doping, kata pegawai kanan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, semalam.

Setakat ini, IOC menguji semula lebih daripada 1,000 sampel daripada Olimpik London dan Beijing, dengan hasrat untuk mengesan bahan perangsang yang tidak boleh dikesan pada empat dan lapan tahun lalu.

Banyak kes yang sudah ditangkap dengan penyalahgunaan doping, antaranya adalah juara Olimpik dan pemenang pingat lain, apabila IOC berhasrat untuk membersihkan kejohanan Olimpik selepas melakar sejarah terburuk doping.

"Akan ada lebih banyak (kes) akan diperoleh (dari London) dalam beberapa minggu ini dan bulan," kata Richard Budgett, pengarah perubatan IOC.

"Kami masih memperoleh sampel positif dari London, saya jangka ia akan berterusan," katanya kepada media di Lausanne, di ibu pejabat IOC.

Lebih daripada 100 keputusan yang didapati positif yang diperoleh daripada ujian semula IOC, katanya.

Antara kes terburuk yang berlaku adalah apabila atlet Russia digantung daripada Olimpik Rio tahun ini disebabkan kes doping yang didalangi kerajaan.

IOC membuat keputusan menjalankan semula ujian pada tahun lalu dengan menggunakan teknik yang diperbaharui bagi menangkap atlet yang bersalah. - AFP

Berita Harian X