Khamis, 8 Disember 2016 | 4:17pm

Gamuda Land jangka lancar 4 perbandaran baharu


PENGARAH Urusan Kumpulan Gamuda Bhd, Datuk Lin Yun Ling. - Foto Nurul Shafina Jemenon

SHAH ALAM: Gamuda Bhd menerusi unit hartanahnya, Gamuda Land Bhd, akan melancarkan empat projek hartanah perbandaran utamanya membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM45 bilion.

Projek pembangunan bercampur yang akan dilancarkan mulai Mac tahun depan itu akan siap secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun.

Empat perbandaran utama itu ialah Kundang Estates dan Gamuda Gardens, masing-masing di Rawang; Gamuda Cove, Kuala Langat, Sepang; serta Twentyfive.7 di Kota Kemuning.

Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd, Datuk Lin Yun Ling, berkata keempat-empat perbandaran baharu itu akan dimajukan di atas tanah berkeluasan 1,401 hektar.

"Secara pecahan, projek perbandaran Kundang Estates berkeluasan 364 hektar akan dimajukan dengan anggaran GDV RM600 juta, manakala Gamuda Gardens (328.6 hektar) membabitkan anggaran GDV RM10 bilion.

"Dua lagi projek perbandaran iaitu Gamuda Cove (607 hektar) dan Twentyfive.7 (101 hektar), masing-masing dengan anggaran GDV RM19 bilion dan RM4 bilion)," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan 2016 Gamuda di sini, hari ini.

Yun Lin berkata, dengan pelancaran empat perbandaran baharu ini, Gamuda Land menjangkakan untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2017.

"Setakat ini, sasaran jualan kami berada pada landasan tepat untuk dicapai dan kami merasakan ia (jumlah sasaran) tidak perlu dikaji semula.

"Kami juga masih memiliki jumlah jualan belum dibil sebanyak RM1.9 bilion. Gamuda Land menjangkakan pertumbuhan kukuh bakal dicatatkan syarikat dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Kami juga memperuntukkan perbelanjaan modal (Capex) berjumlah RM3.5 bilion bagi tempoh dua tahun akan datang bagi projek infrastruktur seperti persimpangan bertingkat; kerja-kerja tanah; pembinaan taman, tasik, kemudahan sesiaran serta bangunan dan kerja-kerja landskap," katanya.

Gamuda Land memiliki simpanan tanah untuk dibangunkan seluas 1537.8 hektar dengan anggaran GDV melebihi RM55 bilion bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Info:

Gamuda Bhd

Unit pembinaan :

* Peruntuk Capex RM2.5 bilion tahun depan

* Miliki senarai tempahan mencecah RM9 bilion untuk tempoh tiga tahun

* Miliki 8 mesin pengorek terowong (TBM) untuk projek MRT Lalaun 1

* Tambah 4 lagi TBM untuk MRT Laluan 2

Berita Harian X