Khamis, 8 Disember 2016 | 5:01pm

Penghulu, penggawa perlu sampai masalah rakyat pada kerajaan - PM


DATUK Seri Najib Razak berucap pada Seminar Jati Diri dan Memperkasa Institusi Penghulu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu institusi penghulu dan penggawa memainkan peranan menyampaikan keluhan dan masalah rakyat di peringkat akar umbi kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, maklumat itu perlu bagi membantu memperbaiki dasar kerajaan supaya pelaksanaannya menepati matlamat dan sampai ke akar umbi.

Katanya, penghulu dan penggawa adalah pihak yang tepat untuk menjalankan tugas itu kerana institusi berkenaan dekat dengan rakyat, sekali gus mampu memahami masalah sebenar masyarakat.

"Bila dah tahu hasrat, kehendak dan keluhan rakyat, maka tolonglah sampaikan kepada kerajaan kerana kalau tahu tetapi diam sahaja, sudah tentu kerajaan tidak dapat gambaran sebenar.

"Kami di Putrajaya (kerajaan) nak tahu apakah masalah rakyat supaya dasar kerajaan boleh diolah dan jika dasar sudah baik dan kena pada tempatnya, pelaksanaan pula akan diteliti.

"Kebiasaannya dalam kerajaan bukan soal dasar. Dasar dah cantik tapi pelaksanaannya selalu berlaku masalah menyebabkan kehendak kerajaan tidak sampai kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Seminar Jati Diri dan Memperkasa Institusi Penghulu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr Yusri Mohamad dan Yang Dipertua Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia, Ahmad Fuad Z Abidin.

Berita Harian X