Khamis, 8 Disember 2016 | 5:57pm

20 minit untuk samun dua stesen minyak

PUCHONG: Dalam tempoh 20 minit, dua stesen minyak dekat sini kerugian hampir RM10,000 selepas disamun sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang apabila 10 suspek yang memakai topi keledar penuh menyerbu kaunter pembayaran stesen minyak berkenaan sebelum melarikan wang tunai dan pelbagai barangan lain.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata suspek menaiki motosikal datang menghampiri pekerja stesen minyak berkenaan dan mengacukan parang kepada mangsa.

"Kami percayai kedua-dua kes samun ini membabitkan suspek yang sama dengan menggunakan modus operandi menjadikan stesen minyak sebagai sasaran samun.

"Berdasarkan laporan pertama daripada pekerja stesen minyak di susur Lebuhraya Bukit Jalil, 10 lelaki menaiki enam motosikal pelbagai jenis dan bersenjatakan parang datang ke stesen itu.

"Tiga daripada mereka mengacukan parang ke arah pekerja kaunter serta mengarahkan mereka mengeluarkan wang tunai.

"Selain itu, suspek juga menyamun barangan seperti Smart Tag, telefon bimbit, 10 kotak rokok dan tabung derma yang dianggarkan berjumlah RM6,850," katanya.

Selang 10 minit kemudian, mereka menyamun satu lagi stesen minyak di Jalan 4 Bandar Kinrara Puchong.

"Dalam kes ini pengurus stesen minyak menyedari kejadian melalui telefon bimbit yang dihubungkan ke CCTV dan melihat suspek bersenjatakan dua parang masuk ke dalam premis sebelum memecahkan CCTV serta menyerang pekerja.

"Suspek juga merosakkan barang serta mengambil wang milik seorang wanita yang ketika itu sedang membuat pengeluaran di mesin ATM di stesen berkenaan," katanya.

Kira-kira 10 minit kemudian, pengurus terbabit tiba di tempat kejadian namun kesemua suspek sudah beredar dan jumlah kerugian di stesen minyak itu adalah sebanyak RM2,720.

Pihak polis sedang meneliti modus operandi yang digunakan dan berusaha mengesan suspek.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X