Khamis, 8 Disember 2016 | 11:22pm

MRM kutip semua royalti bermula 1 Januari 2017

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin (lima dari kanan) merasmikan Pengumuman Penubuhan Badan Pelesenan Tunggal Kutipan Royalti di Hotel Pullman, Bangsar. Turut hadir , Pengerusi Sektetariat PROTEM Badan Kutipan Royalti Tunggal (NewCo), Habsah Hasan (enam dari kiri) , Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Jamil Salleh (tiga dari kanan), Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri , Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong (empat dari kanan) dan Pengerusi MyIPO (Malaysia Intelectual Property Organisation), Datuk Seri Abdul Manan Ismail (empat dari kiri). - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR : Semua urusan kutipan royalti di negara ini akan dikendalikan badan pelesenan muzik tunggal, Music Rights Malaysia Berhad (MRM) berkuatkuasa 1 Januari depan.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata MRM akan mengambil alih pertindihan tugas mengutip royalti pemuzik oleh empat badan pelesenan sedia ada sebelum ini.

Empat badan itu ialah Music Author's Copyright Protection (MACP); Public Performance Malaysia (PPM); Recording Performers Malaysia (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia (PRISM).

Beliau berkata, empat badan berkenaan pula akan menguruskan pengagihan royalti kepada komposer, penulis lirik, artis dan pemuzik rakaman serta syarikat penerbit dan rakaman muzik.

"Inilah penyelesaian dinantikan semua pengguna muzik komersial, pemegang hak milik muzik dan kerajaan bagi menyelesaikan isu pemilikan hakcipta muzik di negara kita.

"Bagaimanapun, invois undang-undang dikeluarkan untuk tempoh tamat pada 31 Disember 2017 masih sah dan pemuzik masih perlu membayar kutipan royalti kepada empat badan berkenaan sehingga tarikh itu," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Pengumuman Penubuhan Badan Pelesenan Tunggal Kutipan Royalti oleh agensi di bawah KPDNKK, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), di sini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri, Datuk Henry Sum Agong; Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh; Pengerusi MyIPO, Datuk Seri Abdul Manan Ismail dan Pengerusi Sekretariat PROTEM Badan Kutipan Royalti Tunggal, Habsah Hassan.

Inisiatif menyelesaikan masalah pertindihan kutipan royalti itu dijalankan dengan kerjasama MyIPO dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), yang bertindak sebagai sekretariat PEMUDAH kajian selain, orang tengah untuk mencari resolusi isu yang 'panas' sejak 2001.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X