Jumaat, 9 Disember 2016 | 12:09am

Kurang tawaran menyanyi, Sheila Abdull jadi pramugari

KUALA LUMPUR: Hakikat karier nyanyian yang semakin malap membuatkan penyanyi, Sheila Abdull mengambil keputusan beralih ke bidang baharu dengan menjadi pramugari di sebuah syarikat penerbangan tempatan.

Sheila atau nama penuhnya, Nursheila Abdullah, 27, memberitahu, dia baharu tamat menjalani latihan selama 45 hari dan bakal memulakan tugas, tidak lama lagi.

"Selepas berfikir panjang, rasanya sudah tiba masanya saya mencari kerja tetap bagi menjamin masa depan.

"Tugas sebagai pramugari salah satu pilihan saya... Mungkin sudah sampai waktu untuk saya beralih arah," katanya kepada BH Plus.

Mula menceburkan diri dalam bidang seni tahun 2008, Sheila pernah bernaung di bawah syarikat rakaman EMI dan menghasilkan beberapa single termasuk Mungkinkah yang menjadi siulan ramai, suatu ketika dulu.

Biarkan bakal bertugas di awan biru, kata Sheila, karier nyanyian tidak akan dipersiakan. Dia akan tampil dengan sebuah single baharu, tidak lama lagi.

Bakal mendirikan rumah tangga dengan anggota kumpulan Drama Band, Ammar Habir pada 18 Disember ini, Sheila memberi jaminan karier baharunya tidak akan menjejaskan perkahwinan yang bakal dibina.

"InsyaAllah, saya mampu menguruskan jadual dengan baik. Sebelum ini, saya pernah bekerja separuh masa dalam bidang perhubungan awam dan menyanyi. Lagipun, Ammar bersetuju dengan keputusan saya.

"Ammar ada pendapatan hasil kerja muzik yang dilakukan termasuk royalti. Saya pula hanya bergantung penuh kepada undangan nyanyian. Tiada undangan, tiadalah pendapatan," katanya berterus-terang.


AMMAR atau nama sebenarnya, Mohd Ammar Mohd Habir memang memasang niat mencari wanita yang bekerja sebagai pramugari dan guru sebagai calon isteri sejak dulu lagi. - Foto Munira Abdul Ghani

SHEILA Abdull mengambil keputusan beralih ke bidang baharu dengan menjadi pramugari di sebuah syarikat penerbangan tempatan. - Foto Munira Abdul Ghani

Suami capai impian

Sementara itu, Ammar atau nama sebenarnya, Mohd Ammar Mohd Habir berkata, sejak lama dulu, dia memasang niat mencari wanita yang bekerja sebagai pramugari dan guru sebagai calon isteri.

Bagaimanapun, kata Ammar, dia tidak kisah dengan pendirian itu sejak mengenali Sheila. Namun, Ammar tidak menyangka bakal isterinya itu akhirnya bertugas di awan biru seperti yang pernah diimpikannya.

"Rasa kelakarpun ada. Maklumlah, sebelum ini, saya kononnya mahu mencari bakal isteri yang bekerja sebagai pramugari atau guru. Apabila jodoh saya seorang penyanyi, saya tak kisahpun.

"Cuma apabila Sheila menyampaikan hasrat untuk menjadi pramugari, hati saya gelak kecil mengingatkan keinginan saya, suatu ketika dahulu," katanya.

Bagaimanapun, hasrat Ammar dan Sheila untuk mendapatkan anak secepat mungkin mungkin terpaksa dilupakan kerana Sheila tidak dibenarkan hamil dalam tempoh tiga tahun.

"Kalau nak diikutkan, kami memang mahukan anak dengan segera. Tetapi kerjaya baharu Sheila menuntut dia untuk tidak boleh hamil dalam masa terdekat. Jika tidak, denda akan dikenakan.

"Namun, sekiranya rezeki anak tiba lebih awal, kami akan menerimanya dengan hati terbuka," tuturnya.

Sheila dan Ammar akan mendirikan rumah tangga pada 18 Disember depan di rumah keluarga Sheila di Taman Ihsan Jaya, Johor Bahru.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 20 Disember tahun lalu.

40 dibaca
PENYANYI, Sheila Abdull atau nama sebenar, Nursheila Abdullah bersama tunangnya, gitaris Drama Band, Mohd Ammar Mohd Habir. - Foto Munira Abdul Ghani
SHEILA Abdull bakal mendirikan rumah tangga dengan anggota kumpulan Drama Band, Ammar Habir pada 18 Disember ini. - Foto Munira Abdul Ghani
Berita Harian X