Sabtu, 10 Disember 2016 | 8:53am

Meninjau kesengsaraan dunia matangkan Sumitra

PENGARAH Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan. - Foto Saifullizan Tamadi

PENGALAMAN 23 tahun wanita berwibawa ini dalam Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) memberikan pengalaman cukup berguna untuk terus memartabatkan kedudukan wanita di negara ini.

Bertepatan dengan personaliti Sumitra Visvanathan, 48, yang menerajui Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) sebagai Pengarah Eksekutif, sejak Januari tahun lalu, beliau mahu bertekad meneruskan perjuangan menghapuskan diskriminasi terhadap wanita sebagai misi utamanya.

Sebelum bersama WAO, beliau menimba pengalaman pertama bekerja bersama UNHCR di kem pelarian Indonesia.

"Ketika itu saya berusia 24 tahun memang tiada pengalaman kerja tetapi pengetahuan dalam undang-undang, membuatkan mereka yakin dengan kebolehan saya, di situlah bagaimana bermula misi kemanusiaan.

"Saya berpeluang bekerja di Vietnam, Switzerland, Turki, Kemboja, Libya, Mesir, Iraq dan banyak lagi. Pengalaman demi pengalaman itu membuatkan saya mengatasi kejutan awal, menyelami kesusahan melampau dan melalui detik sukar berada di zon perang," katanya kepada BH.

Sertai misi keamanan

Sumitra berkelulusan bidang Undang-undang dari Universiti Leicester, Britain, berkata bekerja di Baghdad, Iraq paling memberi kesan, kerana di situ terlalu banyak peperangan dan detik sukar.

"Itu dilalui pada Julai 2014, kami petugas misi keamanan perlu berlari lebih 14 kilometer menyelamatkan diri dan mangsa dan letupan bom kedengaran di sana sini, hingga sekarang pun tidur lama masih dibayangi letupan. 

"Saya banyak menjalankan misi keamanan bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan berkaitan undang-undang di sempadan antarabangsa negara bergolak memastikan pelarian selamat.

"Ramai orang bimbang keselamatan saya berikutan berada di zon perang, tetapi kami akan pastikan mematuhi prosedur keselamatan seperti jaket, topi keselamatan dan sebagainya," katanya.

Misalnya mengenai soal pelarian, katanya ramai tidak memahami pelarian itu boleh terjadi kepada sesiapa saja tidak kira status, jantina sekiranya dalam krisis atau kecemasan, semua orang berada dalam risiko.

"Banyak pengalaman ditimba di UNHCR menjadikan saya bersedia menempuh apa juga keadaan.

"Menerusinya bidang tugas termasuk menyelamat, memberikan perlindungan dan memastikan pelarian kembali selamat ke negara mereka, selain memberikan perlindungan tempat tinggal, air, makanan dan akses kepada perkhidmatan," katanya. 

Sumitra (duduk dua dari kanan) bersama rakan pasukan misi kemanusiaan mendengar taklimat keselamatan dan sekuriti daripada tentera Jordan di Amman, Jordan.

Kebajikan wanita

Pengalaman berkenaan memberi kekuatan untuk memastikan kebajikan masyarakat khususnya wanita tidak ditindas yang dapat direalisasikan menerusi WAO.

Fokus Sumitra ialah mahu mewujudkan komuniti selamat berikutan keganasan wanita juga terjadi dalam rumah, namun diabaikan masyarakat yang menganggap tidak sewajarnya mencampuri urusan itu tidak wajar dicampuri.

"Program advokasi mungkin dianggap retorik, namun itulah nadi perjuangan WAO yang sentiasa memastikan wanita, kanak-kanak dan golongan tua tidak didiskrimasi dalam apa bentuk sekalipun.

Sumitra berada bergambar latar belakangkan papan tanda Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Geneva, Switzerland.

  "Justeru, fokus WAO memperjuangkan kesamarataan gender dan mendidik masyarakat supaya tidak hanya menyaksikan keganasan tetapi mengambil langkah kerana itu sebahagian bentuk jenayah," katanya.

 Sumitra, berpegang pada prinsip semua orang dicipta sama, kajian pada 2015 menunjukkan 36 peratus anak cenderung mengulangi perbuatan dera yang disaksikan ketika kanak-kanak kepada ahli keluarga yang lain.

  "Ini adalah kitaran keganasan dan menjadi sebahagian perjalanan hidup apabila mereka dewasa dan ini meningkatkan keganasan wanita dari masa ke semasa. 

"Keadaan itu dilihat sebagai cabaran dan mahu Akta Keganasan Rumah Tangga dipinda supaya hukuman lebih setimpal dikenakan kepada pelaku dan perlu dikuatkuasakan berpandukan pada garis panduan yang diputuskan, pada Ogos tahun lalu," katanya.

Biodata: Sumitra Visvanathan
Tarikh lahir: 29 September 1968
Asal: Seremban, Negeri Sembilan
Pendidikan: Sarjana Undang-undang Universiti Leicester, Britain
Visi hidup: Semua insan diciptakan sama
Anugerah: Great Women of Our Time (2015).

Berita Harian X