Sabtu, 10 Disember 2016 | 4:15pm

Persiapan sambut keberangkatan pulang Agong ke Kedah

Anggota tentera mengadakan raptai pembarisan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas sempena keberangkatan pulang Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah setelah tamat tempoh sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 12 December ini. - Foto NSTP/Amran Hamid
Anggota tentera mengadakan raptai pembarisan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas sempena keberangkatan pulang Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah setelah tamat tempoh sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 12 December ini. - Foto NSTP/Amran Hamid

ALOR SETAR: Persiapan Perarakan Diraja dan Lambaian Kasih sempena keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah ke Kedah pada Isnin ini hampir selesai.

Pengerusi sambutan istiadat, Datuk Mohd Tajudin Abdullah, berkata raptai penuh hari ini disertai lebih 200 individu dari pelbagai agensi kerajaan, termasuk 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan negeri, berkata ketibaan Sultan Kedah akan disambut 21 das tembakan meriam kehormat dari Rejimen ke-3 Artileri Diraja di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, dekat sini.

"Kami sudah menyediakan dua pelan bagi istiadat terbabit, malah persiapan teknikal juga sudah selesai. Raptai hari ini menunjukkan semua yang dirancang berjalan lancar.

"Tuanku bersama Raja Permaisuri, Tuanku Hajah Haminah akan diiringi Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dari Kuala Lumpur selaku menteri pengiring dengan pesawat membawa baginda diiring dua pesawat Sukhoi SU-30MKM dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.

Beliau yang ditemui selepas raptai istiadat di Kompleks Bunga Raya di sini hari ini, berkata Tuanku Abdul Halim kemudian akan dibawa berarak dari lapangan terbang ke Istana Anak Bukit, sejauh kira-kira 4.7 kilometer.

"Sepanjang perjalanan, dijangka lebih 15,000 rakyat negeri ini akan berbaris di sepanjang jalan bagi menyambut kepulangan baginda. Apabila tiba di istana, Tuanku akan disambut datuk-datuk bergelar Kedah," katanya.

Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua pada 13 Disember 2011 bagi menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Baginda yang diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, adalah anakanda ketiga Almarhum Sultan Badlishah Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhumah Tunku Sofia Tunku Mahmud.

Berita Harian X