Sabtu, 10 Disember 2016 | 7:01pm

PLUS mohon maaf kesesakan teruk laluan ke utara


KEADAAN lori yang terbalik dalam kemalangan di Kilometer (km) 256 Lebuhraya Utara-Selatan, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memohon maaf kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang mengalami kesulitan akibat kesesakan trafik yang teruk bagi laluan ke utara di antara Simpang Pulai-Ipoh hari ini.

Ia ekoran kemalangan membabitkan sebuah lori tangki dan kereta di Kilometer (km) 256 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara pagi tadi menyebabkan kesesakan hampir 12 km.

Nahas berhampiran Terowong Menora pada jam 8.30 pagi itu menyebabkan lori tangki melintang di tengah lebuh raya hingga mengakibatkan laluan terhalang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi, pengendali konsesi lebuh raya itu bersama agensi-agensi berkaitan seperti pasukan bomba, polis, Jabatan Alam Sekitar serta Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) sudah menjalankan kerja-kerja pengalihan dan pembersihan tumpahan diesel di lokasi terbabit bagi memastikan laluan tersebut selamat untuk pengguna.

Katanya, bagi membantu mengurangkan kesesakan di lokasi kejadian, PLUS mengarahkan semua kenderaan yang menuju ke arah utara untuk keluar di Plaza Tol Ipoh Selatan bagi mengaktifkan laluan kontra selain mengarahkan kenderaan membuat pusingan U di lokasi kejadian.

"Kerja-kerja pengalihan dan pembersihan telahpun selesai dan laluan dibuka semula kepada semua kenderaan pada jam 2 petang tadi.

"PLUS menasihatkan kepada pengguna yang belum memulakan perjalanan agar merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya PLUS melalui talian PLUSLine di 1800-88-0000, plustrafik twitter atau menerusi aplikasi PLUS Mobile," katanya.

263 dibaca
Berita Harian X