Ahad, 11 Disember 2016 | 12:46pm

Henti cetuskan kekacauan - Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shahberkenan menyampaikan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K) kepada Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Bintang Negeri Selangor Darul Ehsan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-71 Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang. - Foto NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shahberkenan menyampaikan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K) kepada Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Bintang Negeri Selangor Darul Ehsan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-71 Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang. - Foto NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mahu tindakan diambil terhadap segelintir pihak yang mencetuskan kekacauan dengan berselindung di sebalik nama badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, kelompok berkenaan dilihat cuba menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat melalui tindakan yang boleh mencetus kacau-bilau dan menggugat kestabilan serta keselamatan negara.

Titah baginda, tindak-tanduk pihak yang tidak disenangi itu perlu dihentikan tanpa kompromi, demi memberi keyakinan kepada rakyat, pelancong asing dan pelabur dari luar negara.

"Adalah menjadi hasrat Beta untuk melihat rakyat Selangor yang berbilang kaum ini, terus menyemarakkan semangat setia kawan, bertolak ansur serta saling hormat-menghormati khususnya dalam aspek perkauman, keagamaan dan ideologi politik.

"Sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, ada ruang untuk rakyat menyuarakan pendapat dan memberi pandangan tanpa perlu melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.

"Oleh itu, rakyat harus mengelak daripada terbabit dengan perkara yang mengancam ketenteraman awam, keharmonian kaum dan keselamatan negara atas apa alasan sekali pun," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Penganugerahan serta Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-71 Sultan Selangor, di Istana Alam Shah, di sini, pagi tadi.

Pada istiadat berkenaan, baginda berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati kepada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sultan Selangor turut menganugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor kepada Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Muhammad Ibrahim dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin manakala Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut serta Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar dikurniakan dengan Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor turut menghargai atlet negara dengan menganugerahkan Darjah Kebesaran Ahli Kegemilangan Sukan Selangor kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli; bekas atlet boling, Shalin Zulkifli; pelumba basikal, Mohd Rizal Tisin; atlet gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi; dan atlet terjun, Chew Yiwei.

Sultan Selangor turut menasihati kepemimpinan negeri dan penjawat awam mengambil iktibar sejarah keruntuhan kerajaan silam disebabkan oleh pimpinan yang lemah akhlak, iman dan amalan serta gagal membendung amalan rasuah.

"Beta sangat khuatir bencana akan melanda Negeri Selangor yang dikasihi, jika nilai amanah dalam masyarakat semakin menurun, lebih-lebih lagi dalam kalangan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka di samping terbabit dengan penyelewengan dan amalan rasuah.

"Rasuah akan memberi implikasi negatif terhadap barisan kepemimpinan di negara ini.

"Malah, integriti kejujuran dan ketelusan mereka akan turut dipersoalkan. Akibatnya, pemimpin dilihat sebagai tiada kredibiliti di mata rakyat," titah baginda.

Berita Harian X