Ahad, 11 Disember 2016 | 2:58pm
Sahara Yaacob (tengah) bersama Saleem dan Mus May (kanan) membuat persembahan pada malam Anugerah Melodi 2016 di Dewan Tun Dr Ismail PWTC . - Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

Pakai rambut palsu, Sahara sedia dikecam


Sahara Yaacob membuat persembahan pada malam Anugerah Melodi 2016 di Dewan Tun Dr Ismail PWTC . - Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Bangkit membina kehidupan selepas kisah deritanya didedahkan BH, ramai peminat terkejut dengan penampilan penyanyi era 1980-an, Sahara Yaacob yang memakai rambut palsu pada Anugerah Melodi (AM) 2016, malam tadi.

Sahara yang selama ini berselendang, kembali kepada imej zaman kegemilangannya apabila mendendangkan lagu Peronda Jaket Biru pada acara hiburan yang disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Menggayakan rambut palsu ala Tina Turner dan gaya rocker, Sahara bagaimanapun tahu tindakannya itu bakal mengundang kecaman ramai.

"Saya pernah menjadi penyanyi kelab malam dan kerja seni cukup mencabar... Persaingan itu sengit. Mahu atau tidak, saya kena bersaing. Di atas pentas, saya sudah biasa dilatih menjadi penyanyi profesional dan menghiburkan orang ramai.

"Apabila berada di atas pentas, saya juga seperti pelakon. Pada persembahan tadi, saya perlu nyanyi lagu rock.

"Jadi, saya putuskan untuk lebih selesa menggunakan rambut palsu. Kalau saya bertudung, seolah saya mempermainkan agama," katanya kepada BH Online.

Awal Julai lalu, BH dalam laporan eksklusifnya, mendedahkan kehidupan Sahara yang mendiami sebuah stor sejak beberapa tahun lalu selain mengharapkan ihsan sanak-saudara untuk memberinya makanan.

Penampilan Sahara di pentas AM 2016 adalah yang pertama selepas 15 tahun penyanyi yang terkenal dengan imej liar ini, meninggalkan dunia seni.

Mempertahankan tindakannya, Sahara atas mesra disapa Kak Sara berkata, soal penampilannya di pentas AM 2016 bukanlah isu utama.

"Sama ada saya pakai rambut palsu atau menampakkan rambut sekalipun, ia bukan persoalannya. Paling penting, saya berpegang kepada Tuhan yang satu," katanya.

Sahara mengaku sedang menimbang mungkin menggunakan gaya penampilan sama ketika beraksi di pentas selepas ini.

"Ia sudah menjadi trademark saya," katanya.

Bersedia untuk dikecam, Sahara mengaku sudah biasa diperlukan begitu.

"Saya tak peduli orang nak kata apa. Semua ini antara saya dan Tuhan," katanya.

Berita Harian X