Ahad, 11 Disember 2016 | 3:35pm

400 pelajar terima bantuan persekolahan


ADUN Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan (tengah) bersama Penaung Kelab Aman Subang, Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid dan Pengerusi Kelab Aman Subang, Karim Jabar beramah mesra bersama penerima - penerima kupon kelengkapan pakaian sekolah pada Pelancaran dan Agihan Kupon Kelengkapan Pakaian Bernilai RM100. - Foto Rozela Ismail

SUBANG: Seramai 400 pelajar menerima kupon bernilai RM100 untuk membeli kelengkapan persekolahan sumbangan Kelab Aman Subang, hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan.

Penaung Kelab Aman Subang, Datuk Megat Firdauz Megat Junid, berkata sumbangan bertujuan membantu meringankan golongan asnaf dalam membeli kelengkapan persekolahan anak mereka.

"Bantuan diberi kepada murid Tahun Satu hingga pelajar Tingkatan Enam yang memenuhi syarat.


Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan (tengah) menyaksikan Penaung Kelab Aman Subang, Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid (kiri) gimik penyerahan kupon kelengkapan pakaian sekolah kepada Pengerusi Kelab Aman Subang, Karim Jabar (kanan) pada Pelancaran dan Agihan Kupon Kelengkapan Pakaian Bernilai RM100. - Foto Rozela Ismail

"Ia meliputi Parlimen Subang iaitu tiga kawasan Dewan Undangan Negeri merangkumi Kota Damansara, Bukit Lanjan dan Paya Jaras," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kupon kelengkapan persekolahan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penerima sumbangan boleh menebus kupon di dua lokasi iaitu Galeri Uniform cawangan Subang dan Sungai Buloh.

Sementara itu, Halimaton Saadiah berkata, pihaknya memuji sistem kupon Kelab Aman Subang dalam memberi sumbangan kepada golongan memerlukan.

"Ia memberi peluang kepada mereka membeli barangan keperluan persekolahan dan mengelak ketirisan salah guna sumbangan jika diberi wang tunai kepada mereka," katanya.

Suri rumah, Kammisah Ramli, 36, berkata sumbangan diterima itu dapat meringankan beban keluarganya untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak.

Berita Harian X