Ahad, 11 Disember 2016 | 6:58pm

Penyumbang RM1 Tabung Penubuhan UKM ditaja ke Tanah Suci


NAIB Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA NERUS: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bercadang menghantar seorang daripada penyumbang Tabung Penubuhan UKM pada 1968 menunaikan ibadat haji sebagai menghargai jasanya.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, berkata Nordin @ Ahmad Tahir, 61, adalah pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Seberang Takir (sekarang Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri) pada waktu itu dan sanggup menabung untuk menyumbang RM1 terhadap tabung berkenaan.

Noor Azlan berkata, pihaknya turut mengundang dan meraikan Nordin pada majlis Ulang Tahun ke-46 UKM di Bangi, Mei lalu.

"Ia bagi menghargai kesungguhan Nordin yang mengumpul 10 sen sehari selama dua minggu untuk menyumbang RM1 kepada tabung itu, sedangkan beliau masih bersekolah.

"Hari ini hasil sumbangan Nordin dan pelbagai pihak lain, UKM berjaya melahirkan ramai alumni serta sarjana tersohor negara termasuk tiga profesor adik beradik berasal dari Seberang Takir yang kini berkhidmat di UKM.

"Prof Dr Shahrir Abdullah, Prof Dr Shahrum dan Prof Madya Dr Huda berkhidmat di fakulti sama iaitu Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM.

"Bagi membalas jasa Nordin, UKM menggerakkan tabung dan sumbangan bagi menyempurnakan hajat Nordin dan isteri menunaikan ibadat haji pada musim haji akan datang," katanya pada Majlis Pelancaran UKM4Terengganu dan Projek 360 darjah Kampung UKM di Dataran Permata, Kampung Baru, Seberang Takir, di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Turut hadir isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Sementara itu, Nordin berkata, 10 sen itu dikumpul daripada duit poketnya selama dua minggu sebelum sumbangan diberi kepada Tabung Penubuhan UKM yang datang ke sekolah ketika itu.

April lalu, bekas kakitangan Kilang Perwaja, Kemaman itu dimaklumkan oleh anak saudaranya bahawa nama Nordin menjadi viral dan dicari oleh UKM atas sumbangannya kepada UKM.

Berita Harian X