Isnin, 12 Disember 2016 | 12:17am

Semua power bank dalam pasaran tiada sijil SIRIM

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang alat pengecas bateri tambahan atau power bank, yang dijual dalam pasaran di negara ini, mempunyai kelulusan tahap keselamatan pensijilan barangan oleh SIRIM.

Situasi itu timbul kerana produk terbabit belum dikawal mana-mana agensi kerajaan serta tidak termasuk dalam senarai 34 jenis kelengkapan elektrik tersenarai mengikut Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 yang wajib mempunyai pensijilan barangan SIRIM.

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pensijilan Barangan dan Pemeriksaan SIRIM QAS International Sdn Bhd, Basori Selamat, berkata ketika ini bagi barangan di luar senarai terbabit, permohonan pensijilan itu bersifat sukarela, jadi tidak menjadi kesalahan kepada pengeluar produk jika tidak memohon sijil terbabit.

Katanya, setakat ini belum ada mana-mana pengeluar produk terbabit memohon pensijilan, meskipun ada keperluan memastikan ia mematuhi piawaian ditetapkan SIRIM, berikutan pelbagai kes letupan membabitkan alatan seumpama itu.

"Ini kerana menerusi produk disahkan SIRIM, ia dapat melindungi hak pengguna, yang boleh membuat aduan jika alatan itu dikhuatiri tidak selamat untuk digunakan.

"Setiap aduan berkaitan barangan sah SIRIM akan disiasat bagi mengenal pasti punca kerosakan. Sekiranya pengeluar atau pengilang didapati melakukan kesalahan dan tiada tindakan pembetulan diambil, lesen pensijilan akan dibatalkan. Mereka akan diarah menarik balik produk dari pasaran," katanya.

TIADA sebarang alat pengecas bateri tambahan atau power bank, yang dijual dalam pasaran di negara ini, mempunyai kelulusan tahap keselamatan pensijilan barangan oleh SIRIM. - Foto hiasan
TIADA sebarang alat pengecas bateri tambahan atau power bank, yang dijual dalam pasaran di negara ini, mempunyai kelulusan tahap keselamatan pensijilan barangan oleh SIRIM. - Foto hiasan

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan dan Penyelarasan Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST), Othman Omar, berkata produk terbabit seharusnya diwajibkan mendapatkan kelulusan SIRIM, supaya mematuhi piawaian yang menjamin hak dan keselamatan pengguna.

Katanya, meskipun ketika ini pengguna boleh memilih jenama power bank yang memiliki pensijilan agensi piawaian keselamatan antarabangsa, Underwriters Laboratories (UL), bagi tujuan keselamatan tetapi ia masih tidak mencukupi untuk melindungi pengguna negara ini.

"Tambahan pula, kebanyakan pengguna tidak tahu membezakan produk berkualiti dan tiruan, selain ada banyak kes penipuan membabitkan barangan itu dalam pasaran. Lebih membimbangkan, power bank tidak berkualiti biasanya mudah rosak dan mencetuskan letupan kerana kebanyakannya tiada piawaian keselamatan.

"Saya percaya Jabatan Standards Malaysia (JSM) dan pihak berkaitan akan memandang serius perkara ini memandangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pernah memaklumkan akan mengeluarkan garis panduan penjualan 'power bank' bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau berkata, garis panduan seumpama itu perlu kerana menekankan aspek keselamatan supaya produk yang dijual mengikut spesifikasi dibenarkan.

"Namun setakat ini, ia mungkin masih di peringkat perbincangan dan belum ada hitam putih mengenainya," katanya.

INFO: Antara kes letupan power bank sepanjang 2016

KEJADIAN letupan power bank di Ampangan Seremban, April lalu. - Foto ihsan pembaca
KEJADIAN letupan power bank di Ampangan Seremban, April lalu. - Foto ihsan pembaca

Mac

- Power bank yang diletak dalam kereta oleh seorang jurutera bersara berusia 72 tahun, terbakar menyebabkan kira-kira 30 peratus kenderaannya musnah di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

April

- Kediaman peniaga kek di Ampangan, Seremban, nyaris terbakar apabila dua power bank yang diletakkan atas sofa meletup, menyebabkan sebahagian ruang tamu rumahnya musnah.

Mei

- Power bank milik seorang penolong penerbit stesen televisyen di Kuala Lumpur, meletup ketika disimpan dalam beg menyebabkan beberapa perabot bilik tidur rumahnya terbakar.

Julai

- Seorang budak perempuan trauma selepas cedera ringan apabila power bank yang sedang digunakan menyebabkan letupan kecil di Jempol, Negeri Sembilan.

Ogos

- Jurukamera sebuah stesen televisyen di Kuala Lumpur, melecur bahagian paha selepas power bank yang diletakkan dalam beg di atas riba, terbakar meskipun ketika kejadian alatan itu tidak dihidupkan.

INFO:

  • 34 jenis barangan elektrik wajib ada pensijilan SIRIM
  • Tiada pengecas bateri tambahan atau power bank dalam pasaran ada SIRIM
  • Sekurang-kurangnya 5 letupan power bank dilaporkan media tahun ini
  • Ada power bank miliki pensijilan Underwriters Laboratories (UL)
  • Power bank dicipta 2001, dipasarkan di Asia 2006, popular mulai 2009

PENGARAH Penguatkuasaan dan Penyelarasan Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST), Othman Omar. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGARAH Penguatkuasaan dan Penyelarasan Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST), Othman Omar. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X