Isnin, 12 Disember 2016 | 2:24pm

Agong, Permaisuri berangkat ke Majlis Santapan Diraja

ALOR SETAR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah tiba di Istana Anak Bukit di sini bagi menghadiri Majlis Santapan Diraja.

Majlis itu bersempena Keberangkatan Pulang Kebawah Duli yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sebaik sahaja kenderaan rasmi yang membawa pasangan diraja itu tiba, ruang Istana bergema dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, diikuti paluan nobat.

Baginda berdua kemudiannya disambut Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, serta anggota jemaah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Kenderaan Diraja yang dinaiki Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan disambut oleh rakyat jelata semasa keberangkatan balik baginda berdua selepas tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di sepanjang jalan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) menuju ke Istana Anak Bukit hari ini. - Foto BERNAMA

Turut menyambut, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan EXCO kerajaan negeri.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudian berkenan menyampaikan cenderahati kepada menteri-menteri dan kakitangan pengiring dari Kuala Lumpur sebelum berangkat ke majlis santapan diraja di Istana Anak Bukit yang dihadiri kira-kira 200 tetamu kehormat.

Terdahulu, Seri Paduka berdua tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada jam 11.45 pagi diiringi Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid selaku menteri pengiring.

Tuanku Abdul Halim mencipta sejarah apabila menjadi raja pertama yang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Kali pertama ialah sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 21 September, 1970 sehingga 20 September, 1975 dan kali kedua pada 13 Disember, 2011 hingga hari ini.

Baginda akan digantikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15. - BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan cenderahati kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah di Istana Anak Bukit hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan cenderahati kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah di Istana Anak Bukit hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X