Isnin, 12 Disember 2016 | 4:15pm

Lelaki tikam jemaah masjid ditahan

VAN ambulan dan pegawai polis kelihatan di lokasi kejadian seorang lelaki ditahan selepas menikam seorang jemaah berhampiran masjid Simi Valley, California. - Foto Los Angeles Times

SIMI VALLEY, California: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki melakukan jenayah benci selepas menikam seorang jemaah berhampiran masjid Simi Valley.

Polis berkata, susulan laporan pergaduhan, mereka ke tempat parkir sebuah pusat beli belah berhampiran masjid itu pada jam 11.15 malam kelmarin.

Pegawai berjaya meleraikan pergaduhan dan mendapati seorang ditikam.

Menurut polis, pergaduhan bermula selepas seorang lelaki menemui seorang jemaah dan mula bertengkar.

John Matteson, 29, ditahan di kawasan berhampiran. Mangsa tidak mengalami kecederaan mengancam nyawa dan dibawa ke hospital dalam keadaan stabil.

Matteson kekal ditahan semalam kerana disyaki melakukan ancaman jenayah, melanggar hak sivil dan mengganggu keamanan dengan bergaduh, menurut laman web sherif Daerah Ventura.

"Kami menyiasat sama ada ini dicetuskan kehadiran mangsa atau tidak dan sama ada ia berkaitan masjid.

"Kami bimbang perkara ini berlaku. Kami mahu pastikan penganut semua agama selamat di bandar raya itu," kata jurucakap polis, Sarjan Adam Darough, kepada Los Angeles Times.

Anggota masyarakat berkata, kejadian berlaku berhampiran kawasan solat yang menjadi tempat penduduk tempatan berkumpul, kata Pengarah Eksekutif Majlis Perhubungan Amerika-Islam (CAIR) cawangan Los Angeles, Hussan Ayloush.

Sejak hari pilihan raya, CAIR menerima hampir 200 laporan kejadian benci yang disasarkan kepada penduduk Islam negara itu. - AP

Berita Harian X