Isnin, 12 Disember 2016 | 7:04pm

Kereta, van tenggelam ditarik keluar pagi tadi


KEADAAN tebing Sungai Tembeling berdekatan restoren terapung Kuala Tahan yang ditenggelami air kelmarin kembali surut. - Foto Amir Hamzah

JERANTUT: Dua kenderaan yang ditenggelami air di pinggir Sungai Tembeling, dekat sini, pagi semalam sudah ditarik keluar dari kawasan itu pagi tadi.

Pegawai Komunikasi Korporat Hotel Mutiara, Sabri Abdullah, berkata kenderaan itu adalah milik syarikat kereta sewa di Kuala Lumpur dan digunakan pelancong dari Jerman yang datang ke Taman Negara Ulu Tembeling, minggu lalu.

"Kereta yang ditenggelami air itu adalah milik syarikat kereta sewa yang beroperasi di ibu negara, manakala van pula milik syarikat pemandu pelancongan dari Jerantut.

"Mereka mungkin masih berada di sana (Taman Negara) dan kejadian pagi semalam adalah tidak dijangka.

"Memang paras air di kawasan Kuala Tahan dan sekitar akan meningkat apabila hujan, terutama musim tengkujuh seperti sekarang, ...cuma, kami tidak jangka ia menenggelamkan kawasan sekitar restoran berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, penduduk Kuala Tahan, Zamri Mat Amin berkata, paras air sungai Ulu Tembeling sudah mulai surut pagi tadi dan akan kembali normal jika tidak berlaku hujan lebat seperti awal pagi semalam.

Dalam kejadian pagi semalam, dua kenderaan itu ditenggelami air selepas paras air sungai Ulu Tembeling melimpah berikutan hujan lebat sejak awal pagi Ahad.

Kenderaan yang diletakkan di kawasan letak kenderaan perkarangan Restoran Terapung Ulu Tembeling itu tidak dapat dialihkan ke lokasi selamat berikutan pemiliknya gagal dikesan.

Berita Harian X