Selasa, 13 Disember 2016 | 12:08am

Piawaian mandatori terhad, cetus lambakan barangan elektrik kualiti rendah

KUALA LUMPUR: Jabatan Standards Malaysia (JSM) berpendapat industri elektrik dan elektronik negara ini wajar mempunyai sistem pengurusan tunggal di bawah satu agensi, bagi mengatasi isu lambakan produk tidak patuh piawaian, yang boleh membahayakan keselamatan pengguna.

Ketua Pengarah JSM, Datuk Fadilah Baharin, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan bagi meningkatkan dan memantapkan lagi sistem sedia ada supaya tindakan dapat diambil terhadap pemain industri yang gagal mematuhi undang-undang.

Katanya, ketika ini terlalu banyak agensi memantau dan mengawal produk elektrik hingga menyukarkan agensi bertanggungjawab mengambil tindakan berikutan bidang kuasa berbeza dan terhad.

"Semua pihak perlu berbincang dan mengenal pasti pertindihan dan kelonggaran yang berlaku supaya ada satu agensi yang boleh mengawal, memantau dan mengambil tindakan secara menyeluruh.

"Perbezaan bidang kuasa menyebabkan berlakunya kelonggaran pengawasan ke atas barangan di pasaran selain piawaian mandatori yang terhad menjadikan banyak lambakan barangan yang rendah mutunya di negara ini," katanya.

Dalam menjelaskan perkara ini, Fadilah berkata di sebalik usaha Suruhanjaya Tenaga (ST) menjelaskan dengan terperinci piawaian mandatori ke atas 31 barangan elektrik untuk kegunaan rumah, pengguna sebagai contoh, masih ditawarkan kelengkapan elektrik yang rendah mutunya.

KETUA Pengarah Standards Malaysia, Datuk Fadilah Baharin. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KETUA Pengarah Standards Malaysia, Datuk Fadilah Baharin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

"Permintaan yang tinggi menyebabkan pasaran barangan ini terus menguasai industri kerana kurangnya kesedaran dalam kalangan pengguna. Orang ramai suka membeli peralatan elektrik dan telekomunikasi pada harga yang rendah meskipun sedar berdepan dengan risiko kemudaratan seperti kebakaran, kejutan elektrik, litar pintas dan kerosakan alat itu.

"Dalam hal ini, pengguna tidak hanya boleh menyalahkan agensi kerajaan semata-mata sebaliknya membantu badan berkaitan mengatasi masalah ini dengan menunjukkan kuasa pengguna menerusi tindakan memboikot barangan tidak patuh piawaian.

"Justeru, saya fikir selain memantapkan sistem sedia ada, pendidikan pengguna juga perlu dipertingkatkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan dan Penyelarasan Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST), Othman Omar berkata jika diteliti kepada prasarana perundangan, ia sudah lengkap terutama dengan penggubalan beberapa peraturan, pekeliling dan akta untuk melindungi pengguna.

Katanya, antaranya Akta Perihal Dagangan 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999 selain setiap agensi berkaitan dibenar mengambil tindakan, termasuk merampas barangan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan dan menyalahgunakan label.

LAMBAKAN produk elektrik tiruan dan tidak berkualiti yang boleh membahayakan keselamatan pengguna.

"Namun, kemudahan ini jarang dimanfaatkan hingga menyebabkan pengguna saban hari kian terdedah dengan pelbagai penipuan. Kerjasama dalam kalangan agensi terbabit seharusnya dimantapkan lagi terutama penguatkuasaan terhadap pengeluar dan peniaga yang menjual barangan ini.

"Kita juga perlu akur bahawa ada pengguna yang tidak mengetahui sesuatu barangan elektrik itu selamat atau sebaliknya, kecuali selepas dimaklumkan kepada mereka," katanya.

KETUA Pengarah JSM, Datuk Fadilah Baharin. - Foto BERNAMA
KETUA Pengarah JSM, Datuk Fadilah Baharin. - Foto BERNAMA
LAMBAKAN produk elektrik tiruan dan tidak berkualiti yang boleh membahayakan keselamatan pengguna.
LAMBAKAN produk elektrik tiruan dan tidak berkualiti yang boleh membahayakan keselamatan pengguna.
Berita Harian X